Photo by DepositPhotos.com
Oleh Sarfarizmal Md Saad

SETIAP parti politik termasuk di Malaysia mempunyai sumber pembiayaan dana tersendiri. Apa yang membezakannya hanya jumlah yang mereka peroleh dari semasa ke semasa.
Penyumbangnya boleh terdiri daripada sesiapa sahaja waima dari luar negara dan tidak dinafikan bahawa sumbangan boleh melibatkan pelbagai sumber sama ada halal atau sebaliknya. Tiada siapa yang tahu kerana parti politik tidak perlu mendedahkannya.

Banyak yang dilakukan oleh parti politik yang memiliki sumber kewangan yang besar termasuk dakwaan membeli ahli politik lawan untuk melompat dan menyokong sesebuah parti lain.

Perkara sedemikian bukan rahsia, kebanyakan gerak kerja dilakukan oleh proksi-proksi dan bukan dalang yang sebenar. Bahkan tindakan membeli ahli politik lawan atau menutup mulut lawan dilakukan bukan hanya parti pemerintah tetapi juga pembangkang. Politik adalah seni serba mungkin jadi segala-galanya bukan mustahil.

Dalam menelusuri isu ini, kini ramai yang inginkan supaya akta anti lompat parti dikuatkuasakan. Namun begitu, bukankah lebih wajar undang-undang dana politik patut diberikan perhatian. Kata orang jika mahu mematikan pokok, akarnya perlu dicabut.

Pasti ramai tidak sedar, sejak tahun 2016, kerajaan Malaysia pada ketika itu telah menyiapkan satu undang-undang khas yang dipanggil Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) untuk mengekang kegiatan politik wang dan rasuah dalam kalangan parti-parti politik di negara ini telah disiapkan.

Ini juga bertepatan dengan saranan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki yang mengharapkan pihak pemerintah dapat percepatkan akta dana politik dalam tahun ini jua.

Sebenarnya PDEA itu secara dasar dapat meningkatkan dan menambah baik undang-undang sedia ada termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pertubuhan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Semua ini bukan saja memperelokkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara kita, malah mendorong parti-parti politik lebih berhati-hati, kerana segala dana yang diterima perlu disahihkan sumber dan tujuannya untuk perkara yang tidak menyalahi undang-undang.

Selain itu, dengan mengetahui siapa penyumbang dana, pihak berkuasa seperti SPRM juga boleh memastikan sama ada wujudnya kegiatan membalas budi selepas sesuatu parti yang bertanding dan menang menubuhkan kerajaan.

Sudah tiba masanya kita mengambil pedoman dari negara-negara seperti New Zealand dan Denmark bagi mengurangkan kadar rasuah politik di tanah air sendiri.

Bukankah sebelum PRU14 dahulu cukup banyak parti politik yang ‘melalak’ mahukan akta dana politik ini ditubuhkan? Kenapa sekarang mereka berdiam diri dan memandang sepi terhadap usaha berkenaan termasuk Pakatan Harapan.– Bebasnews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here