SUNGAI Kim Kim /Foto: NSTP.

SIMPANG RENGGAM — Kementerian Alam Sekitar dan Air menerima laporan daripada orang awam semalam mengenai pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang apabila airnya bertukar warna menjadi hitam.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya sudah mengerahkan 11 pegawai dan anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke kawasan sungai itu bagi membuat pemantauan serta pemeriksaan pagi tadi.

“Aduan diterima mengatakan air hitam keluar dari Sungai Kim Kim dan kebetulannya semalam adalah ulang tahun kedua tragedi pencemaran Sungai Kim Kim.

“Jadi, kekuatan 11 pegawai dan anggota dikerahkan ini bagi mengenal pasti punca pencemaran, sampel air juga diambil selain pemantauan udara menggunakan dron dan laporan dijangka diperoleh seawal hari ini atau esok,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis undian perdana kerja-kerja bawah peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi Johor di Dewan Muafakat Simpang Renggam.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata pindaan untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap penjenayah alam sekitar membabitkan Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) sudah mendapat persetujuan dasar Jemaah Menteri.

“Cadangan pindaan peruntukan bawah Akta 655 itu sudah mendapat kelulusan dasar Jemaah Menteri dan kini sedang menunggu untuk dibentang ke Parlimen,” katanya.

Pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019 menggemparkan negara selepas beberapa pelajar sekolah pengsan secara tiba-tiba, selain mengalami pening, loya dan muntah-muntah.

Insiden itu menjejaskan kira-kira 6,000 penduduk di Pasir Gudang, terutama pelajar sehingga 111 sekolah di kawasan berkenaan diarah tutup sementara.

Jarak sejauh 1.5km kawasan Sungai Kim Kim yang tercemar sisa kimia berbahaya itu sudah dibersihkan dengan 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar.

Sisa kimia berbahaya itu turut dilupuskan dari sungai berkenaan.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/08/sungai-kim-kim-hitam-selepas-2-tahun-tragedi-pencemaran/

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here