PENERIMA program bantuan kebajikan bulanan kerajaan sangat gembira apabila mendengar bahawa pada Disember elaun bulanan RM200-300 yang diterima mereka akan dinaikkan kepada RM1,000.

Bagaimanapun wang itu belum dibayar hingga kini.

Semakan di Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM), sebuah kesatuan tempatan dan ketua komuniti Orang Asli mendapati dasar itu belum dilaksanakan selepas lebih tiga bulan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan bayaran lebih tinggi itu pada Disember berkata, “saya akan pastikan cadangan ini dapat dilaksanakan segera”, dalam satu hantaran di Facebook pada 3 Dis sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia.

Terdahulu minggu ini, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pertambahan itu diumumkan sebelum pilihan raya negeri Sabah (pada September) dan “sehingga hari ini kita tidak mendengar apa-apa mengenainya walaupun ia diumumkan oleh perdana menteri”.

Pegawai JKM Che Samsuzuki Che Noh memberitahu FMT bahawa jabatan itu belum menerima lampu hijau daripada Kementerian Kewangan berhubung pelaksanaan dasar itu.

Beliau berkata, tidak semua penerima bantuan semasa layak menerima bayaran tambahan tersebut.

Muhyiddin mencadangkan pertambahan bantuan itu di Sandakan pada Ogos sebelum pilihan raya Sabah dengan berkata, “apa yang penting kehidupan rakyat kita di akar umbi dalam golongan B40”, yang menurutnya, “sudah sengsara terlalu lama”.

Seorang anggota komuniti Mah Meri di Pulau Carey, Selangor berkata, akaun banknya tidak menunjukkan apa-apa perubahan dalam jumlah bantuan yang diterima.

“Saya dengar mereka akan mula berikan RM1,000. Tetapi kami masih mendapat RM200,” katanya kepada FMT.

“Hidup kami sangat perit sejak pelaksanaan PKP (perintah kawalan pergerakan) dan bantuan itu amat bermakna,” katanya.

Pada Sabtu Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kabin Penerbangan Malaysia berkata, ramai orang kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19, termasuk ibu tunggal, yang mungkin berasa terlalu malu untuk meminta pertolongan.

Kesatuan itu berkata, pertambahan bantuan tersebut amat membantu golongan miskin walaupun jumlahnya jauh daripada mencukupi.

Syed Saddiq berharap pertambahan bantuan itu tidak digunakan sebagai alat politik dalam pilihan raya umum akan datang, terutamanya apabila dua dasar penting dalam Belanjawan lepas masih tidak dimulakan.

“Saya bimbang mereka sengaja menangguhkan pertambahan bantuan kebajikan itu dan pemberian tunai e-dompet sebanyak RM100 serta 150,000 komputer riba percuma (kepada pelajar).

“Mereka hanya akan melakukannya menjelang pilihan raya,” katanya.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/08/masih-menunggu-bantuan-kebajikan-rm1000-yang-dijanjikan/

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here