Abd. Rahim Jaafar (dua dari kiri) bersama-sama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri) menunjukkan kotak rokok seludup bernilai RM52 juta yang dirampas di IPD Pontian, Johor. -Foto Polis Marin

PONTIAN – Mencampakkan rokok seludup ke dalam laut sebelum diambil oleh bot-bot kecil menjadi modus operandi sindiket penyeludupan rokok di kawasan perairan antarabangsa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Namun, sepandai-pandai tupai melombat, akhir jatuh ke tanah juga. Kegiatan sindiket berkenaan akhirnya dapat dihidu pihak berkuasa dan menumpaskannya.

Terbaharu, pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya merampas rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM52 juta, iaitu rampasan terbesar dalam sejarah negara selepas menahan sebuah kapal kargo di Perairan Pantai Barat berhampiran Pulau Kukup, dekat sini Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, dalam operasi pukul 8.15 malam itu, pihaknya merampas 70 juta batang rokok seludup dan 11 kru kapal warganegara asing berusia 22 hingga 60 tahun.

Katanya, sepasukan Unit Risikan Marin PPM Wilayah Dua membuat pemantauan terhadap pergerakan sebuah kapal kargo MV Chita 2 dari Myanmar ke Batam, Indonesia disyaki membawa muatan rokok seludup untuk dibawa masuk ke kawasan Pantai Barat negeri ini.

“Bot ronda PPM telah cuba memintas kapal tersebut dengan menyalakan ‘police light’ dan membunyikan siren tetapi tidak mendapat kerjasama daripada kapten kapal yang enggan memberhentikan kapal.

“Kapal kargo tersebut berjaya ditahan dan berhenti di kedudukan kira-kira 2.9 batu nautika Barat Daya Pulau Kukup dengan bantuan dua bot ronda PPM.

“Hasil pemeriksaan ke atas kapal kargo itu menemukan sebanyak 7,000 kotak mengandungi pelbagai jenis rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam petak kapal kargo tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.

Abd. Rahim berkata, kapal kargo berdaftar di Mongolia itu dikesan membuat perjalanan berulang-alik dari perairan Batam ke Perak sebanyak dua kali sejak Februari lalu.

Katanya, memindahkan barang seludup dari kapal yang menggunakan laluan perairan antarabangsa telah dikenal pasti menjadi modus operandi sindiket penyeludupan.

“Sindiket penyeludupan rokok ini dipercayai sudah lama beroperasi di garisan perairan antarabangsa bagi mengelak ditahan. Sekiranya mendapati tiada pengawasan pihak berkuasa, barulah mereka memasuki perairan negara.

“Sepanjang perjalanan dari Batam ke Perak, mereka akan mencampakkan kotak rokok yang diletakkan dalam plastik ke dalam laut sebelum diambil oleh kapal kecil tempatan,” katanya.

Kesemua kru kapal kargo berkenaan ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah Pontian bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here