Anggota bomba memadamkan api yang memusnahkan sebuah kereta yang dibakar seorang lelaki di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

ISKANDAR PUTERI – Berang dengan tindakan isterinya tidak pulang ke rumah sejak awal bulan ini, seorang suami sanggup membakar kereta milik saudara isterinya.

Suspek yang datang ke rumah mangsa di Taman Bukit Indah, di sini semalam mengesyaki isterinya ‘bersembunyi’ di kediaman itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa mendakwa terdengar bunyi alat penggera kenderaan berkenaan.

Kemudian mangsa yang berusia 22 tahun mendapati tayar kiri kereta Proton Saga miliknya sedang terbakar dan berusaha memadamkan api tetapi gagal.

“Mangsa turut meminta bantuan pihak bomba yang kemudian berjaya memadamkan kebakaran itu. Hampir keseluruhan kereta terbabit mengalami kerosakan akibat kebakaran itu.

“Mangsa mengenali suspek dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis. Susulan itu, sepasukan polis berjaya menahan suspek di tepi Jalan Indah 5/5, Taman Bukit Indah pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek seorang penganggur berumur 47 tahun mengaku melakukan kesalahan itu kerana tidak puas hati isterinya tidak balik ke rumah sejak 1 Mac lalu berikutan berlaku perselisihan faham antara mereka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here