Photo by Agung Pandit Wiguna from Pexels

KUALA LUMPUR – Ramai wanita takut mengambil keputusan berani untuk melangkah keluar daripada perkahwinan yang tidak sihat susulan bimbang dengan stigma masyarakat di sekeliling.

Ahli Psikologi dari Universiti UCSI, Penolong Profesor Dr. Zhooriyati Sehu Mohamad berkata gelaran janda itu menakutkan bagi sesetengah wanita sehingga mereka terpaksa bertahan dalam perkahwinan yang mendera emosi mahupun fizikal mereka.

“Umumnya, wanita risau dengan gelaran janda dan kebanyakkan wanita Malaysia terutamanya berbangsa Melayu takut untuk bertindak kerana tidak mahu dipandang serong tapi ada juga wanita yang tidak tahu bagaimana untuk keluar daripada perkahwinan yang mendera mereka sama ada daripada segi emosi mahupun fizikal, ” katanya.

Dr. Zhooriyati yang juga Ketua Jabatan Psikologi dari Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal Universiti UCSI berkata kebergantungan isteri yang tidak bekerja dan hanya mengurus anak-anak di rumah juga mendorong wanita untuk memendam rasa yang akhirnya memakan diri hingga menjurus ke arah depresi.

“Mereka sudah terlalu bergantung terhadap suami dan lama kelamaan kurang berkeyakinan untuk menguruskan kehidupan sendiri jika berpisah dengan suami.

“Memendam perasaan ini tidak baik di mana ia akan membawa kepada pelbagai gangguan masalah kesihatan mental dan fizikal. Lebih banyak perkara yang ditanggung, lebih banyak tekanan kepada mental yang akhirnya boleh mengakibatkan depresi,” kata beliau dalam satu kenyataannya di sini.

Dr. Zhooriyati Sehu Mohamad

Beliau turut menyarankan agar setiap individu belajar berkongsi perasaan dengan individu yang rapat bagi membina gaya hidup yang lebih sihat.

“Daripada perspektif psikologi, kita harus meluahkan perasaan kepada orang yang rapat dengan kita dan boleh dipercayai, tak kiralah sama ada rasa puas hati atau sebaliknya. Sebab orang yang meluahkan perasaan ini didapati hidup lebih lama, mempunyai hubungan sosial yang positif, kurang masalah kesihatan dan hidup lebih gembira berbanding individu yang tidak meluahkan juga memendam perasaan.

“Individu yang tidak meluahkan perasaan akan mempunyai pemikiran pesimis yang boleh menyebabkan mereka kurang yakin, sering syak wasangka terhadap individu lain, sering marah malah akan menjejaskan prestasi kerja serta mempunyai lebih banyak hubungan yang berbentuk negatif,” katanya.

Katanya, perkahwinan yang sihat merupakan perkahwinan yang mempunyai persefahaman dan kepercayaan antara satu sama lain di mana komunikasi menjadi medium utama yang memainkan peranan penting.

“Untuk mencapai perkahwinan yang membahagiakan, pasangan haruslah meluangkan masa bersama dan berkongsi cerita. Jika ada masalah berbincang tanpa ada pihak ketiga seperti ibu bapa atau ahli keluarga yang lain supaya dapat meluahkan perasaan dan bincang langkah yang boleh diambil untuk atasi masalah itu.

“Seterusnya, beri masa kepada pasangan untuk berubah kemudian beri ruang kepada pasangan untuk atasi tekanan dan pada tahap ini pasangan perlu beri ruang serta sokongan moral. Jika tidak selesai juga bolehlah berjumpa kaunselor, tak perlu segan sebab ramai rakyat Malaysia terutamanya Melayu malu nak berjumpa kaunselor. Jika tak dapat diselesaikan juga barulah ambil langkah untuk keluar daripada perkahwinan yang toksik itu,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, rasa malu untuk bertemu dengan kaunselor itu berlaku susulan pelbagai tanggapan kurang tepat yang sudah terlalu menebal dalam kalangan masyarakat.
“Bagi kebanyakan orang, apabila pergi jumpa kaunselor itu maksudnya dia ada masalah yang terlalu besar sebab itu ramai yang malu nak jumpa kaunselor.

“Ada juga klien saya kata, bila dia masuk ke pejabat agama nak jumpa kaunselor untuk minta nasihat sahaja, tetapi mata yang memandang dia masa masuk ke pejabat agama itu amat menakutkan, macam dia buat salah besar,” katanya. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here