Haris Kasim (tiga dari kiri) memegang kunci bersama wakil kedutaan Jepun pada majlis perasmian Taman Persahabatan Selangor-Jepun di Shah Alam.
Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM- Ingin berlibur, kini Taman Persahabatan Selangor-Jepun telah dibuka sebagai tarikan pelancongan di negara ini.

Taman yang terletak bersebelahan Dataran Kemerdekaan Shah Alam dibina sebagai menghargai persahabatan dengan negara Jepun yang setia menjadikan negeri Selangor sebagai salah sebuah destinasi pelaburan melalui syarikat Panasonis, Canon dan Matsushita.

Taman yang seluas 2.4 hektar dan asalnya merupakan sebahagian daripada kawasan Tasik Timur, Taman Tasik Shah Alam, telah dibuka baru-baru ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim ketika majlis pembukaan taman tersebut berkata, taman yang bernilai RM3.8 juta ini direka bentuk mengikut penyatuan elemen seni bina dan budaya yang menjadi taman simbolik serta melambangkan kerjasama yang utuh antara negeri Selangor
dan negara Jepun.

Haris berkata, pihak MBSA juga menyasarkan taman ini menjadi tempat tumpuan utama bagi menarik para pelancong sama ada dari dalam atau luar negara ke bandar raya
Shah Alam.

Jelasnya lagi, kewujudan taman tersebut sekaligus dapat memacu industri pelancongan di dalam Shah Alam khususnya serta menyemarakkan aktiviti seni dan budaya.

“Taman ini mempunyai beberapa seni bina yang melambangkan elemen Jepun sebagai daya tarikan utama iaitu Laman Zen, Kolam Maze, Gerbang Torii, Tsukubai (Stone Basin), Laman Refleksologi, dan Laman Teres.

“Taman ini juga menampilkan ciri unik dengan dikelilingi oleh pagar keselamatan berkonsepkan buluh. Taman ini dibuka pada setiap hari mulai jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam dan masuk adalah percuma,”katanya. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here