Oleh Arrazzaq Nazri

SHAH ALAM- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan sebagai pencelah dalam kes rayuan difailkan Menteri Dalam Negeri berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kitab terjemahan (bahasa Melayu) Bible atau percetakan apa-apa buku dan penulisan bagi agama Kristian dalam Negeri Selangor.

Menurut Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd.Yusof, rayuan tersebut bertujuan menjaga kesucian kalimah Allah yang berkait rapat dengan akidah orang Islam.

“MAIS berpegang teguh dengan pendirian bahawa kalimah Allah merupakan suatu kalimah suci yang merujuk hanya kepada Allah iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas keimanan orang Islam.

“Justeru, kalimah tersebut tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama lain selain daripada agama Islam,”kata MAIS dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Sultan Selangor bertitah penggunaan kalimah dalam Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali di Selangor.

Baginda bertitah demikian sebagai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes Jill Ireland binti Lawrence Bill melawan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia baru-baru ini.

Abdul Aziz berkata, MAIS sebagai pihak berkuasa utama agama Islam bertanggungjawab memelihara dan menjaga kesucian agama Islam termasuklah menghalang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang jika kalimah tersebut jelas menyalahi maksud Allah yang menjadi teras akidah dan kepercayaan orang Islam.

Beliau berkata, di bawah seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988), mana-mana orang bukan Islam yang menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan Islam dalam negeri ini adalah satu suatu kesalahan.

“Malahan fatwa yang diwartakan di negeri ini pada 18 Februari 2010 juga memperuntukkan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain dan wajib bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah Allah tersebut.

“MAIS menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dalam penerbitan agama Kristian kerana ia boleh membuka ruang kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan atau mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam khususnya di Selangor,” katanya lagi. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here