Filem Penunggang Agama sudah boleh ditonton menerusi Astro First, saluran 480 bagi yang melanggan.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MULAI 25 Mac ini, orang ramai berpeluang menonton filem baharu arahan Syafiq Yusof iaitu Penunggang Agama di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480.

Penunggang Agama merupakan filem pertama arahan Syafiq yang menampilkan genre seram thriller dengan elemen Islamik. Sebelum ini anak kepada penerbit Datuk Yusof Haslam itu menghasilkan filem pecah panggung iaitu Abang Long Fadil 2.

Selepas kejayaan filem Munafik, arahan abangnya, Syamsul, tidak banyak filem seram thriller Islamik dihasilkan. Kehadiran Penunggang Agama bakal memperkuatkan lagi genre tersebut sebagai salah satu genre utama pilihan penggemar filem.

Zul Ariffin melakonkan watak Amir dalam filem arahan Syafiq Yusof ini.

Syafiq, melihat isu ‘penunggang agama’ yang sering menjadi bualan hangat masyarakat dan masih berleluasa di luar sana sehingga kini, sebagai konflik utama buat filem lakonan Zul Ariffin, Nasir Billal Khan, Azira Shafinaz, Puteri Nurqaseh, Salina Saibi, Johan As’ari, Sabrina Ali dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Sepanjang 90 minit tayangan, penonton akan dikejutkan dengan pelbagai adegan plot yang tak dijangka. Tambahan pula, karakter yang diketengahkan mampu memberi impak kepada penonton.

Menurut Syafiq, beliau sentiasa menampilkan kelainan setiap berkarya kerana minatnya yang mendalam dalam bidang pengarahan.

“Minat yang mendalam dalam berkarya mendorong saya untuk sentiasa berusaha tampilkan kelainan pada setiap filem yang dihasilkan. Kali ini, saya memilih genre sebegini dengan elemen Islamik kerana cabarannya berbeza, di mana banyak rujukan yang perlu saya buat, terutamanya pada penghasilan skrip dan adegan.

Penunggang Agama penuh dengan pengajaran.

“Selain itu, konflik penunggang agama itu sendiri sememangnya dekat dengan masyarakat dan saya cuba menyampaikan mesej-mesej yang diharap boleh dijadikan sebagai pengajaran buat kita semua,” jelasnya tentang pembikinan filem tersebut.

Tambah Syafiq, beliau mempunyai sebab tersendiri kenapa memilih Zul Ariffinda dan Nasir Bilal Khan sebagai teraju utama filem terbitan  Skop Productions dan Astro Shaw itu.

Syafiq Yusof akan melakukan pelbagai kreativiti tiap kali mengarah filem baharu.

“Bagi saya, mereka menepati karakter dan kelainan daripada kebiasaan yang pernah kita lihat sebelum ini. Seperti umum ketahui Nasir Bilal Khan pernah membawa watak antagonis, jadi dengan kemampuan beliau, kami yakin watak Tok Haji yang lebih berat dapat dijelmakan dengan baik.

“Watak utama Amir mempunyai keunikan tersendiri; seorang graduan Al-Azhar dengan pemikiran berbeza dan mudah dimanipulasi. Secara tidak langsung watak itu memperlihatkan sisi berbeza lakonan, Zul Ariffin.

“Saya harap Penunggang Agama bukan sahaja dapat diterima oleh penonton, tetapi mengulangi kejayaan filem-filem yang pernah saya hasilkan sebelum ini,” katanya penuh harapan.

Antara barisan pelakon Penunggang Agama yang hadir sewaktu pratonton filem tersebut, baru-baru ini.

Bagi menampakkan karakter Tok Haji ‘hidup’, jelas Syafiq, penata rias terpaksa mengambil masa dua jam untuk melakar tatu di seluruh badan Nasir Bilal Khan.

Syamsul juga berharap, adeganTok Haji yang bermandikan darah itu mampu menarik perhatian penonton. Selain itu, penampilan hantu atau susuk makhluk juga berbeza daripada kebiasaan filem-filem seram thriller tempatan lain kerana ia lebih menyeramkan.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, ini adalah kali pertama Syafiq menghasilkan filem untuk ditayangkan di platform Astro First.

Katanya, mengangkat isu terkini, Penunggang Agama bukan sahaja mampu menghiburkan penonton dengan elemen seram, malah turut mengajak penonton untuk ingat seketika dan melihat kesan baik buruk daripada sesuatu tindakan.

“Selepas dua tahun tidak muncul dengan filem, Syafiq kembali dengan naskhah terbaharu untuk peminat dan penonton tanah air. Kami yakin gabungan sentuhan kreatif pengarah dengan lakonan mantap oleh barisan pelakon, pasti mampu memberi kepuasan kepada penonton.

Raja Jastina Raja Arshad harap filem ini dapat memberi kepuasan kepada penonton.

“Kami berharap kehadiran filem ini akan menarik perhatian penggemar filem untuk terus meletakkan kepercayaan pada mutu filem-filem tempatan,” katanya.

Penunggang Agama mengisahkan tentang Amir dan Anna, pasangan suami isteri berdepan dengan cabaran getir kerana ibu tiri Amir, Datin Maria telah mengalami ‘gangguan makhluk halus’.

Datuk Hafsyam, iaitu ayah Amir mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat seorang ‘pakar rukyah’ bernama Tok Haji.

Lakonan Zul Ariffin dalam Penunggang Agama tidak perlu dipertikaikan.

Namun, Amir dan Anna tidak mempercayai Tok Haji dan menasihati Datuk Hafsyam untuk tidak lagi menggunakan khidmat Tok Haji. Anna merasakan Tok Haji sebenarnya adalah seorang bomoh yang bertopengkan agama Islam, manakala Datuk Hafsyam pula merasakan isterinya disantau oleh ahli keluarganya sendiri.

Teka-teki bermula dalam plot penceritaan untuk mencari siapakah penunggang agama yang sebenar. Pada masa yang sama, Anna dan anak perempuan kecilnya diganggu oleh makhluk halus hingga kerasukan.

Dapatkah Amir menyelamatkan keluarganya dari ujian ini? Siapakah dalang di sebalik kekacauan ini? Kalau nak tahu siapa dalang sebenarnya, jangan lupa untuk melanggan filem Penunggang Agama dengan hanya RM15 yang boleh ditonton berulang kali selama 48 jam.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

-Bebasnews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here