KELAKUAN ganas Jack Hindle (jersi merah) terhadap pengadil perlawanan Kelantan FC menentang Perak II di Kota Bharu.
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

PENYERANG import Kelantan FC, Jack Raymond Hindle hanya diberikan amaran keras ekoran kelakuan ‘ganasnya’ yang dikatakan menolak pengadil perlawanan Liga Perdana 2021 menentang Perak FC II pada 6 Mac lalu.

Pemain berusia 28 tahun kelahiran England itu berbuat begitu terhadap Mohd. Amirul Aizat Mohd. Lodin yang dianggap menghalang kedudukannya dalam kotak penalti ketika Wira Merah mengasak.

JACK Hindle hanya dikenakan amaran keras FAM kerana menolak pengadil Mohd. Amirul Aizat Mohd. Lodin, 6 Mac lalu. – Foto Kelantan FC.

“Dia didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.

“(Sebagai) hukuman, dia diberikan amaran keras supaya tidak melakukan perbuatan ini lagi dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam siaran media hari ini.

Seorang pemain import Melaka United FC, Alex Dos Santos Goncalves turut hanya dikenakan amaran keras atas pelanggaran artikel dan kod sama malah kelakuan yang juga tidak bersemangat sukan namun bagi perlawanan Liga Super 2021 pada 10 Mac lalu.

Kesalahan pemain kelahiran Brazil berusia 31 tahun ini dilakukan dalam perlawanan menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Namun jawatankuasa itu mengenakan penggantungan dua perlawanan terhadap perantara PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri yang dikatakan sengaja merebahkan diri dalam kotak penalti dalam perlawanan berkenaan.

AHMAD Khairil Anuar Ahmad Zamri, pemain PJ City FC digantung dua perlawanan, 2 dan 7 April ini. – Foto PJ City FC.

Tindakannya membolehkan ‘Phoenix’ meraih sepakan penalti yang menghasilkan jaringan Darren Lok.

“Kesalahannya itu melanggar Artikel 59 kod sama iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan itu.

“Dia digantung dua perlawanan apabila PJ City FC bertemu Terengganu FC pada 2 April ini dan Kuala Lumpur City FC, 7 April ini.

“Tindakannya yang tidak bersemangat sukan dan memegang kaki seolah-olah telah dikasari pemain lawan walaupun tiada yang menyentuhnya dan mewujudkan situasi simulasi (berolok-olok).

“Pemain ini turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Hukuman ini tidak boleh dirayu,” kata Baljit.

Seorang pemain Selangor FC 2, Hein Htet Aung pula didapati berkelakuan tidak bersemangat sukan dalam perlawanan Liga Perdana 2021 menentang PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 6 Mac lalu.

Penyerang dari Myanmar berusia 20 tahun itu dikatakan menunjukkan simbol jari yang berunsur politik ketika menjaringkan gol pada minit ke-43 perlawanan yang dimenangi pelawat 3-0, justeru digantung satu perlawanan menentang Perak FC II pada 2 April ini.

“Pemain ini turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Hukuman ini tidak boleh dirayu,” kata Baljit.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here