Oleh Zainal AS Rashid

PERHATIKAN ikon ibu jari tanda ‘suka’ atau ‘tidak suka’ di bawah setiap video dalam YouTube.

Sejak bertahun YouTube membenarkan penilaian setiap video dalam platform tersebut dengan cara menekan ikon ibu jari untuk menandakan ‘suka’ atau ‘tidak suka’.

Kini platform video yang dimiliki oleh Google itu baharu sedar bahawa ikon ibu jari ke bawah berkemungkinan menjurus kepada tindakan membuli seseorang.

Oleh yang demikian semalam YouTube mengumumkan bahawa platform tersebut telah melancarkan satu ‘eksperimen kecil’ bagi menguji keberkesanan beberapa reka bentuk baharu yang tidak memaparkan ikon tidak suka (ibu jari ke bawah).

Apa yang dilakukan itu adalah sebagai respons kepada ‘kempen tidak suka bersasar’ kata syarikat tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Melalui akaun rasmi Twitternya, YouTube memaklumkan kepada semua pengguna bahawa mereka mungkin akan melihat satu di antara reka bentuk baharu itu pada minggu-minggu akan datang.

Menurut majalah Variety, pengguna YouTube akan terus dapat melihat jumlah ‘suka’ dan ‘tidak suka’ pada bahagian ‘dashboard’ akaun YouTube Studio.

Pengguna yang terpilih untuk ujian tersebut masih boleh menurunkan tanda ‘suka’ atau ‘tidak suka’ bagi video yang ditonton untuk berkongsi ‘maklum balas dengan pihak pencipta’ dan seterusnya memaklumkan kepada mereka tentang cadangan masing-masing.

Dua tahun lalu YouTube menjadi sasaran kempen ‘tidak suka’ bersasar yang telah menimbulkan masalah bagi platform tersebut.

Justeru, pada Disember 2018 komponen ‘YouTube Rewind’ yang merupakan rangkuman tahunan trend budaya dan ‘meme’ telah mencatatkan rekod tertinggi jumlah penggunaan ikon ‘tidak suka’ dalam masa kurang seminggu selepas di muat naik.

Dalam pada itu para pengkritik berasa kurang selesa dengan pemilihan selebriti seperti Will Smith, Trevor Noah dan John Oliver, sementara mengetepikan pencipta YouTube asal yang lain.

Setakat ini YouTube Rewind  telah mengumpul sebanyak 19 juta ‘tidak suka’ dan 2.9 juta ‘suka’.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here