GAMBAR: Apple.

Oleh Zainal AS Rashid

PROGRAM Pembekal Pembaikan Bebas Apple kini sedang diperluaskan secara besar-besaran.

Program yang memberikan akses kepada alat ganti gajet Apple, panduan pembaikan dan pemeriksaan kepada pihak ketiga ini asalnya diperkenalkan di Amerika Syarikat pada 2019, sebelum diperluaskan ke Eropah dan Kanada pada 2020.

Tahun ini, program tersebut akan diperluaskan kepada lebih 200 negara, iaitu hampir setiap negara di mana produk Apple dijual, lapor Mashable Asia.

Oleh itu, mereka yang ingin menyertai program tersebut boleh mendapatkan latihan percuma daripada Apple, tetapi dengan syarat mereka menyatakan komitmen untuk menyediakan seorang juruteknik yang diperakui oleh Apple bersama (persijilan disediakan percuma).

Menurut Apple, buat masa ini terdapat lebih daripada 1,500 lokasi Pembekal Pembaikan Bebas syarikat tersebut di AS, Kanada dan Eropah.

Sebelum pelancaran program berkenaan, Apple sering kali dikritik kerana tidak menyediakan peralatan bagi membaiki produk Apple.

Bagaimana pun, berikutan desakan oleh beberapa kumpulan hak-untuk-membaiki dan peraturan lebih ketat di Eropah, syarikat tersebut akhirnya akur.

Apple berkata syarikat itu akan membuka pendaftaran bagi program tersebut di beberapa negara sepanjang minggu ini.

Negara-negara yang tersenarai termasuk Afghanistan, Australia, Bangladesh, Bhutan, Brazil, Brunei Darussalam, Cambodia, Kepulauan Cook, Fiji, Guam, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Laos, Macao, Malaysia, Maldives, Mongolia, Myanmar, Nepal, New Zealand, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Rusia, Arab Saudi, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka, Taiwan, Thailand, Tonga, Turki, Emiriah Arab Bersatu, Vanuatu, dan Vietnam.

Program ini akan terus diperluaskan  di beberapa negara lagi menjelang akhir tahun.

Klik pautan berikut untuk menyemak sama ada mana-mana pembekal pembaikan menyertai program ini (buat masa ini hanya pembekal di AS dipaparkan, tetapi pengguna dinasihatkan terus menyemak dari semasa ke semasa): support.apple.com/repair/verify-repair-provider

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here