Foto FB Rosnilawaty Othman

SHAH ALAM – Seorang pelatih Akademi Tentera Udara Ipoh menjadi perhatian di media sosial apabila tiba-tiba muncul di sebuah pusat karaoke selepas enam bulan tidak pulang bagi membuat kejutan kepada keluarga tersayang.

Muhammad Mirza Zakbah, 20, berkata, kejutan itu dibuat sejurus tamat latihan di akademi tersebut selepas berjauhan dengan keluarga.

“Asalnya keluarga dah tahu nak pulang ke rumah hari ini, cuma saya tipu ibu mengatakan bas rosak tepi jalan dan tidak tahu sampai ke rumah jam berapa.

“Saya dah rancang dengan ayah nak jumpa di sana dan saya sudah dekat situ ketika ibu telefon saya dan tanya dekat mana,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurut ibunya, Rosnilawaty Othman, 47, dia terkejut gembira sehingga menggigil dan menangis apabila melihat anaknya yang sudah enam bulan tidak ditemui di depan mata.

“Pada mulanya saya tanya kepada pelayan, yang mana satu nasi goreng cina dan nasi goreng daging merah, kemudian pelayan buka pelitup muka.

“Macam anak saya, terus saya jerit dan peluk anak saya kuat-kuat, kawan-kawan saya di situ semua menangis,” ujarnya.

Tambah Rosnilawaty, dia berada di pusat karaoke itu untuk menyambut ulang tahun kelahiran rakan sekerja tetapi dia yang mendapat kejutan daripada anaknya.

Aksi Muhammad Mirza melakukan kejutan dan menyamar sebagai pelayan di pusat karaoke untuk memberi kejutan kepada ibunya menerima pelbagai reaksi netizen di media sosial yang dikongsikan oleh bapanya, Zakbah Yaakop.

https://www.sinarharian.com.my/article/131383/BERITA/Semasa/Enam-bulan-tidak-pulang-anak-beri-kejutan-kepada-ibu

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here