FOTO: 玄史生, CC0, via Wikimedia Commons.

Oleh Zainal AS Rashid

HANYA lapan bulan lalu Huawei berjaya menduduki tempat pertama sebagai pengeluar telefon pintar terbesar dunia. Sekarang tidak lagi.

Pada Rabu (semalam) syarikat gergasi China itu akhirnya akur bahawa bisnes telefon pintar keluaran syarikat itu amat terkesan berikutan pelbagai sekatan Amerika Syarikat yang telah membantutkan perkembangan empayar Huawei.

Susulan itu Huawei mendapati amat sukar untuk memperoleh komponen penting untuk dipasang dalam barisan produknya, lapor CNN Insider yang memetik kenyataan pengerusi Huawei Ken Hu pada sidang media di Shenzhen selepas laporan pencapaian terkini syarikat itu.

Huawei, bagaimana pun, enggan menyatakan secara spesifik jumlah kerugian yang dialami sepanjang tahun lalu walaupun pengumuman tersebut memang telah dijangka oleh pemain industri global.

Menurut data Gartner and Counterpoint, Huawei kini bukan lagi peneraju pasaran di China, apatah lagi di peringkat global.

Pada 2019, kadar jualan lain-lain produk pengguna buatan Huawei, termasuk laptop, tablet dan alat boleh dipakai melonjak sebanyak 65 peratus. Sejak beberapa tahun Huawei telah memperluaskan barisan produk-produk tersebut, dan keputusan terbaharu telah ‘memberikan lebih keyakinan terhadap strategi kami’ kata Hu.

Seorang jurucakap Huawei berkata walaupun sektor telefon pintarnya merosot, namun secara keseluruhan pendapatan meningkat kepada 891.4 bilion yuan pada 2020, dan syarikat tersebut memperoleh keuntungan bersih sebanyak 64.6 bilion yuan, iaitu tertinggi pernah dicatat.

Bagaimanapun, jika dilihat pendapatan hanya meningkat sebanyak 3.8 peratus, sementara keuntungan sebanyak 3.2 peratus, lemah berbanding pertumbuhan tahun-tahun sebelumnya.

Jika dilihat sekarang segala petunjuk tidak berapa menampakkan anjakan positif berhubung pendirian AS yang kini diterajui pentadbiran Joe Biden.

Bulan lalu Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat telah mengulangi dakwaan Washington bahawa Huawei masih dianggap mengancam keselamatan AS.

Keadaan itu jelas tidak memberi keyakinan untuk menyaksikan pemulihan hubungan antara China (Huawei) dan AS.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here