Oleh Ahmad Abd Hamid

BERSEMANGAT Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dari 27 hingga 28 Mac. Parti mengambil pendirian tegas memutuskan hubungan dengan parti Bersatu serta mahu barisan menteri UMNO atau yang memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengundurkan diri. Namun di sebalik semangat menyala tersebut, suasana nampak kendur selepas perhimpunan berakhir.

Malah pasca perhimpunan menampakkan perbezaan pendapat yang nyata. Menteri UMNO tidak pun meletakkan jawatan, begitu juga yang menjawat jawatan dalam GLC. Mereka telah menemui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin, dan bersetuju untuk terus kekal dalam kabinet.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan, mengundurkan diri ketika ini bererti lari daripada tanggung jawab dan amanah diberi. Lagi pun katanya, PAU tidak menetapkan para menteri UMNO perlu meletakkan jawatan serta merta.

Pandangan ini dikongsi oleh Ahli Parlimen Arau merangkap Ketua Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim. Katanya tidak ada arahan untuk menteri-menteri UMNO atau yang memegang jawatan dalam GLC meletakkan jawatan waktu ini.

Keputusan menteri UMNO untuk terus berada di dalam kabinet nampak tidak disenangi oleh AhIi Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan mereka sebagai pengecut kerana enggan meletakkan jawatan.

Sebelum ini Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, juga mahu UMNO memutuskan hubungan dengan Bersatu dan menteri UMNO berundur daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Namun yang lebih menonjol ialah Nazri Aziz menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai ‘kurang sifat kepimpinan’. Kerana itu gesaan supaya menteri UMNO meletakkan jawatan hanya diambil ringan. Sebaliknya menteri terlibat bertekad akan tetap terus berada dalam kabinet.

Ini merupakan satu lagi tamparan kepada Zahid. Sebelum ini ada pergerakan pemuda bahagian, malah ketua bahagian, yang mahu Zahid memberi laluan kepada pemimpin pelapis  dan memberi tumpuan kepada kes mahkamahnya.

Dalam senario ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pula menggesa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Turut senada dengan beliau ialah Reezal Merican.

Khairy tidak mahu pemilihan ditangguhkan, sebaliknya menurut jadual pada Jun ini demi  menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda parti. Langkah ini juga bagi memastikan UMNO menghadapi PRU-15 dengan kepimpinan yang lebih jelas.

Beliau tidak mahu pemilihan parti dibuat selepas PRU. Ini kerana UMNO mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat.

Khairy menolak pandangan bekas presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bimbang jika  pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15, ia boleh melemahkan parti. Khairy sinis menjawab, sebelum PRU-14 pun pemilihan ditangguhkan dan UMNO tetap kalah dalam pilihan raya tersebut.

Reezal Merican yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), menegaskan pemilihan parti perlu segera diadakan selaras janji tidak ada penangguhan bagi pemilihan berikutnya selepas pemilihan 2018 yang juga tertangguh. Justeru ikrar mesti ditunaikan.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini juga pernah menyatakan PRU-15 perlu dipimpin oleh kepimpinan yang mendapat mandat dalam pemilihan parti. Bagi Menteri Wilayah Persekutuan itu, hanya kepimpinan baharu yang berhak menentukan sama ada parti itu terus bekerjasama dengan Bersatu atau sebaliknya.

Kenyataan Khairy mengenai ‘kemelut dalaman’ UMNO sangat menarik kerana ia adalah pengakuan terbuka bahawa sesungguhnya UMNO dalam kemelut. Parti dilihat tidak lagi senada dan sekata. Dalam senario ini pun UMNO masih yakin ia benar-benar kuat menghadapi PRU-15 berseorangan bersama rakan dalam Barisan Nasional (BN).

Adakah UMNO masih menaruh harapan untuk berganding dengan Pas, rakannya dalam Muafakat Nasional (MN)?

Yang pasti Pas dan Bersatu akan terus bekerjasama dan menolak sebarang penjajaran politik baharu, seperti diumumkan oleh Setiausaha Agung kedua-dua parti, masing-masing Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Bukankah ini pertanda Pas akan tetap kekal bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN)?

UMNO juga dikatakan sedia menimbang bekerjasama dengan parti-parti lain selepas PRU-15. Perkara ini menimbulkan persoalan. Kenapa selepas dan bukan sebelum?

Mahukah UMNO bekerjasama seandainya menang dan membentuk kerajaan? Atau mungkinkah tawaran ini ‘bersyarat’ yang akan hanya dilakukan jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan? Mungkin sudah dapat diketahui sekilas ikan di air!

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here