Rossa tampil dengan lagu Korea yang diubah suai daripada lagu asal, Hati Yang Kau Sakiti.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TIDAK mudah untuk anggota kumpulan Super Junior iaitu Lee Dong-Hae untuk tampil dalam video muzik penyanyi lain. Namun Dong-Hae, 34, memberi kejutan kepada peminatnya, apabila membuat kemunculan dalam video muzik lagu The Heart You Hurt atau Sangcheo Badeun Maeum.

Kemunculan Dong-Hae dalam video muzik Rossa bukanlah satu masalah besar kerana mereka berada di bawah naungan syarikat pengurusan yang sama iaitu SM Entertainment.

The Heart You Hurt adalah lagu Hati Yang Kau Sakiti dendangan Rossa yang dialih bahasa kepada bahasa Korea dan dilancarkan pada pada 14 Ogos, 2020 oleh Inspire Musik. Manakala video muzik lagu tersebut baru dilancarkan pada 31 Mac 2021.

Rossa harap kemunculan Dong-Hae disukai oleh semua peminatnya dan penggemar K-pop.

Lagu The Heart You Hurt mendapat sambutan hangat peminat muzik daripada pelbagai peringkat usia. Tidak hanya digemari oleh peminat Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handayani, 43, tapi turut diminati oleh penggemar K-pop di seluruh dunia.

Malah lagu ini pernah menjadi runut bunyi untuk drama Korea berjudul The World of The Married dan kerap menjadi lagu latar untuk drama popular The Penthouse.

Lagu asal dendangan Rossa iaitu Hati Yang Kau Sakiti, adalah ciptaan Franco Wellyjat Medjaja atau Enda, gitaris dari band Ungu yang diterbitkan pada 2009.

Rossa berjaya mengajak Lee Dong-Hae anggota Super Junior untuk muncul sebagai model dalam video muzik The Heart You Hurt.

Menurut Rossa biarpun gembira kerana Dong-Hae sudi muncul dalam video muziknya, namun beliau tetap berhati-hati kerana idol itu merupakan anggota kumpulan legenda dalam industri hiburan K-pop.

“Mendebarkan kerana aku bekerjasama dengan anggota Super Junior, kumpulan K-Pop legenda yang ternama sebelum kehadiran kumpulan idol sekarang. Sudah tentu peminat beliau berada di seluruh dunia.

“Aku bersyukur kerana Dong-Hae mudah mesra dan kami sering berhubungan menerusi direct message (DM) Instagram. Jadi aku sama Dong-Hae DM-DM terus juga. Dia sangat excited dan katanya ‘ayo dong lagi, bikin apa lagi yuk nanti’, gitu,” cerita Rossa tentang gelagat anggota kumpulan Super Junior itu.

Penggambaran video muzik dilakukan di Indonesia dan Seoul, Korea.

Penyanyi berdarah Sunda itu mengakui, apabila sering berbual dengan Dong-Hae, secara tidak langsung memudahkan mereka membina keserasian mengikut jalan cerita yang dirancang.

“Iya dong pastinya. Aku sama Dong-Hae video call, DM, terus ngobrol banyak tentang video klipnya. Sampai akhirnya bisa ‘Oh iya iya, ini yang harus aku lakukan’,” jelas Rossa tentang video muzik yang turut menampilkan pelaon Indonesia, Dion Wiyoko.

Kata Rossa, beliau dan Dion menjalani penggambaran di Jakarta dan Bali, Indonesia, sementara Dong-Hae di Seoul, Korea.

“Aku terharu sekali dengan respons daripada peminat selepas memuat naik teaser video muzik The Heart You Hurt di media sosial. Lucu-lucu baca komentar di YouTube, Twitter, Instagram, Facebook dan TikTok.

Rossa adalah peminat drama Korea.

“Semoga kehadiran video muzik dengan Dong-Hae ada di dalamnya mendapat respons bagus, tidak hanya di Indonesia tapi juga di Korea dan belahan dunia lain.” kata Rossa yang tercatat sebagai penyanyi yang menguasai seluruh platform digital streaming Indonesia di tahun 2020.

Sementara itu, Dong-Hae yang dipilih Rossa untuk muncul dalam video muzikThe Heart You Hurt sangat teruja dengan kolaborasi tersebut. Terlihat dirinya juga turut memuat naik potongan video muzik baharu Rossa ini di akaun Instagram miliknya.

“Saya muncul di muzik video penyanyi Indonesia, Rossa. Sebuah projek yang menyenangkan. Saya meminta perhatian kalian,” tulis anggota Super Junior ini di kapsyen Instagram pada 27 Mac lalu dan mendapat banyak komen.

Sebelum Dong-Hae, Rossa pernah bergandingan dengan aktor Korea iaitu Ki Do Hoon dalam video muzik lagu Masih yang mendapat respons positif secara global.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here