Oleh Sarfarizmal Md Saad


Jika ditanya kepada mana-mana parti politik, tiada satu tidak inginkan kejayaan yang selesa hingga membentuk kerajaan. Keadaan tidak mungkin berlaku jika sesesuatu parti itu bergerak bersendirian atau solo. Namun persoalannya mampukah sesebuah parti politik itu bergerak solo?

Selepas tsunami politik 2008 dalam PRU12, keampuhan Barisan Nasional sebagai sebuah gerakan politik yang mantap telah terhakis dan terus tumbang kemudiannya.

Pada PRU14 lalu, buat pertama kalinya dalam sejarah BN telah kalah di tangan Pakatan Harapan (PH).

Menjelang PRU15 kali ini, BN berkira-kira untuk bergerak secara solo, sama seperti yang dilakukannya sebelum PRU14. Ramai penganalisis politik percaya bahawa ia hanya mengulangi nasib yang sama.

Pucuk pimpinan parti UMNO, komponen terbesar dalam BN, mendakwa akar umbi mereka yang mahukan sedemikian sedangkan perkara sebaliknya sebenarnya dipercayai berlaku. Pucuk pimpinan berbuat demikian hanya sekadar untuk mengekalkan pegangan kuasa dalam parti.

Mahu atau tidak. Semua pihak perlu insaf keadaan politik semasa di tanah air ini sudah berubah. Kaedah atau suasana dominasi politik dari sebuah parti tunggal sudah berakhir.

Jika amati benar-benar, kita sedang terus melalui proses perubahan dalam bernegara yang menyaksikan mana-mana parti politik yang ingin membentuk kerajaan perlu bersepakat, bergabung atau bekerjasama dengan parti lain. Barulah cukup sokongan untuk melantik seorang Perdana Menteri mewakili kerajaan berkenaan.

Apabila UMNO atau BN mahu bergerak solo, tidak dapat tidak akan berlaku sekurang-kurangnya tiga penjuru di hampir keseluruhan 222 kerusi parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Bukankah PRU14 dan sebelum-sebelumnya, Tuhan sudah tunjukkan, bahawa sekiranya jika ada pertembungan tiga penjuru atau lebih, maka potensi untuk UMNO dan BN menang makin tipis.

Dikala senario politik sekarang, ia bukan lagi tipis bahkan langsung tewas.
Hakikatnya, Muafakat Nasional (MN) adalah resipi sebenar sebuah kekuatan dan kebangkitan. Jika UMNO, BN dan PAS pandai mencorakkan dan menggunakan MN untuk PRU15, maka pilihan raya siri itu akan menjadi hak milik penyatuan ummah.

Syahadan, lewat ini kita dapat saksikan PAS lebih cenderung untuk bersama PPBM melalui Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRU15. Malah, kenyataan rasmi bersama antara Setiausaha Agung PPBM dan PAS juga menyatakan keberadaan dua parti tersebut dalam satu saf.

Kewujudan pemimpin kluster mahkamah yang masih memegang tampuk kuasa dalam UMNO, mungkin menyebabkan PAS meragui sama ada kerjasama yang dipupuk sebelum ini benar-benar menguntungkannya.

Biarpun UMNO lantang bunyi suara tapi ia sebenarnya lemah didalamnya.
Barangkali juga PAS mengambil jalan lebih selamat. Ia meminjam kelebihan PPBM untuk PRU akan datang.

Keraguan PAS terjawab apabila parti bulan penuh itu menerima ‘pukulan’ dari Presiden UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada 28 Mac lalu, biarpun kedua-dua pihak telah menjalin kerjasama. Tindakan pemimpin kanan UMNO memberi kata dua supaya memilih parti itu atau PPBM juga memberi tamparan kepada PAS.

Kini, UMNO dan BN harus memikirkan soal bagaimana mahu menghalang PH untuk terus berkuasa dan menambah jumlah kerusi dalam Parlimen dan DUN terutama selepas berkeras untuk ‘No Anwar, No DAP’.
Soal kedua, jika mahu memikirkan tentang dominasi, UMNO dan BN harus mencari kata sepakat dan masing-masing di dalam PN harus saling berjiwa besar. Tidak boleh ada gerakan ‘cah keting’ atau gerakan di bawah meja untuk menjatuhkan sesama rakan.

Atau mungkin juga UMNO dan BN turut serta dalam PN terlebih dahulu bagi membentuk Kerajaan PN pasca PRU15, setelah semua kembali baik dan imej UMNO dan BN kembali cantik, mereka dapat kembali menjadi dominan pada PRU16 akan datang dengan muka-muka baharu yang berada di pentas UMNO dan BN semasa itu.

Akhirnya ia berbalik semula kepada ‘big why’ untuk menghadapi PRU15 kali ini. Adakah ia untuk menghalang kekuasaan PH atau kerana UMNO mahu bangkit menjadi dominan dalam masa yang singkat?

Biar pilihan itu bersifat ‘endurance’ jika ia lebih baik untuk survival bangsa Melayu, agama Islam dan negara Malaysia tercinta.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here