Awie tidak kekok sewaktu memasak sambal.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MELIHAT Datuk Awie membuat demostrasi masakan sambal udang petai, dapat dirumuskan bahawa vokalis kumpulan Wings itu ada skil memasak dan bukan sekadar berlakon memasak di hadapan lensa kamera.

Menurut Awie, beliau mula masuk dapur ‘sepenuh masa’ kerana mahu menyediakan makanan untuk anak-anak walaupun ada pembantu rumah.

Rupa-rupanya penyanyi yang kelihatan garang itu sebenarnya berjiwa lembut dengan anak-anak. Beliau sanggup belajar memasak demi untuk memberi anak-anaknya makan.

“Punca saya mula masak bila keruntuhan rumah tangga saya yang kedua tu. Bila berlaku begitu, anak-anak saya nak makan. Saya bangun pagi buat sarapan, sediakan makanan tengah hari dan malam. Macam seorang suri rumah, memasak untuk anak-anak.

“Saya tak suka sangat nak bagi maid masak kerana saya tak mahu air tangan (hasil masakan) dia bagi anak-anak makan. Jadi saya tengok dan tanya dia, cara memasak.

“Masakan pertama yang saya masak adalah sambal. Saya memang hantu sambal walaupun saya kurang makan nasi. Bila saya suka sambal saya belajar masak sambal. Inilah puncanya saya jatuh cinta dengan sambal disebabkan keruntuhan rumah tangga,” ceritanya sambil berseloroh.

Kini Awie menceburi bidang perniagaan makanan pula bagi mencari pendapatan.

Ternyata minat Awie terhadap sambal membawa rezeki apabila beliau berpeluang bekerjasama dengan Amir Shah Daud yang merupakan rakan kongsinya dalam pengeluaran sambal di bawah jenama R-We.
Produk R-We mengeluarkan empat jenis sambal iaitu Sambal Merah yang dijual pada harga RM18 sebotol dan RM25 sebotol untuk Sambal Paru, Sambal Ikan Sepat Masin dan Sambal Ikan Kembong Masin di Semenanjung.

Manakala harga jualan untuk Sabah dan Sarawak bagi tiga produk berkenaan adalah RM30 sebotol. Selain itu R-We turut mengeluarkan produk Kambing Perap dan Ayam Perap.

Menurut Awie, projek mengeluarkan sambal R-We bermula selepas beliau bertemu dengan Amir pada November tahun lalu. Sebelum ini, Amir selaku Pengarah Urusan Imaginex merupakan penganjur untuk Konsert Apologia Search & Awie yang terpaksa ditunda kerana pandemik Covid-19.

“Projek ini bermula pada tahun ini, bincang punya bincang projek tak menjadi tapi hidup perlu diteruskan. Saya fikir apa nak buat dalam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini. Saya banyak tanggungan. Konsert tak boleh dan kemudian Amir cadangkan buat bisnes makanan. Saya memang kosong bab bisnes makanan ni.

Awie pada majlis pelancaran produk sambal R-We baru-baru ini.

“Amir ni ada kilang dan keluarganya orang bisnes. Dibantu oleh sepupunya, seorang doktor di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) menjaga kita punya pengurusan dan dibantu oleh peguam, mak ciknya untuk menentukan hala tuju produk ini.

“Saya rasa syukur sebab dipertemukan dengan mereka yang berpengalaman dalam bidang perniagaan. Kalau saya melangkah seorang diri nak buat apa. Nak keluarkan produk ini kena temui pelbagai pihak, sedangkan saya hanya temui dia saja,” jelasnya yang rasa bertuah dapat bekerjasama dengan Amir.

Tambah Awie, beliau turut membuat soal selidik tentang cita rasa penggemar sambal sebelum menjual secara rasmi kepada orang ramai pada 31 Mac lalu dan sebanyak 3,000 botol telah habis dijual.

Walaupun Awie penggemar sambal, namun untuk pengeluaran R-We, beliau akur dengan cita rasa pasukan dan bukan berdasarkan pilihannya semata-mata.

“Sambal ini dihasilkan daripada cita rasa team, kita buat dari hari ke hari sampailah berpuas hati, proses pertukaran rasa, ambil masa dua tiga bulan dan beberapa kali tukar resipi.

“Bila dah dapat kata putus, baru kita teruskan. Resipi dipilih oleh saya, rakan kongsi dan ahli pasukan lain. Semua yang merasa setuju, baru kita keluarkan di kilang yang terletak di Seremban,” katanya.

Jelas Awie, dalam situasi sekarang, beliau perlu berfikiran terbuka dan tidak boleh bergantung harap kepada bidang seni semata-mata. Biarpun memilih perniagaan makanan, Awie bersyukur kerana bergabung dengan mereka yang berpengalaman.

Empat jenis sambal produk R-we diperkenalkan di pasaran.

“Walaupun saya zero tentang perniagaan makanan ini tapi saya suka kerana ia sesuatu yang baharu. Sebenarnya, perniagaan sambal R-We ini bukan untuk saya seorang saja tapi untuk orang ramai juga.

“Kita kongsi rezeki sebab itu kita wujudkan sistem master stokis, stokis, ejen dan dropships. Dalam masa sama semua orang boleh kerja dan kaya sama-sama selagi kita berusaha,” katanya yang pada mulanya mahu berniaga produk makanan kesihatan.

Jelas Awie, beliau pernah terfikir untuk mengeluarkan produk makanan protein memandangkan beliau gemar pergi ke gimnasium.

“Asalnya, saya nak buat makanan protein, sebab saya dah mula pergi ke gim dan kebetulan ada kenalan ajak saya buat projek itu. Lepas saya kaji dan tengok pasaran ketika pandemik ini, bisnes yang paling mendapat sambutan adalah makanan.

“Bisnes makanan tak kira musim, tambahan dalam keadaan sekarang, bila duduk rumah asyik makan saja. Lagipun sambah R-We ini sesuai untuk seisi sekeluarga. Boleh dimakan begitu saja atau kalau yang rajin boleh ubah suai mengikut cita rasa sendiri,” katanya.

Sambal R-We sesuai dimakan begitu saja bagi yang sibuk.

Awie yang sebelum ini menerbitkan filem 10 Tips Tipu Bini menerusi syarikat Rumah Produksi Merah miliknya, bakal menerbitkan filem kedua, Sue-On, yang dijangka menemui penonton selepas raya Aidilfitri ini.

Selain itu, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 53, yang baru menimang anak keenam, Putra Ahmad Andika, yang lahir pada Januari lalu, hasil perkahwinannya dengan Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, isteri ketiganya.

Para ejen dan stokis diperlukan untuk mereka yang ingin menambah pendapatan.

Selain sibuk mengurus keluarga dan perniagaan sambal R-We, Awie juga sibuk menyiapkan album Wings untuk pendengaran peminat setia mereka.

“Wings tengah buat album. Kita dah buat lama tapi tak boleh nak progres pantas sebab PKP. Kalau kita buat cepat pun tak guna sebab tak sesuai untuk release masa kini. Kita masih menggunakan CD (cakera padat). Saya tetap nak keluarkan CD. Itu perlu kerana kalau kita keluar single dan download ni memang tak real.

“Saya nak pada inlay itu diceritakan sejarah Wings untuk dijadikan sebagai koleksi item. Mana-mana pengikut Wings selama 36 tahun ini mereka boleh simpan dan tengok cerita yang berlaku sebelum ini.” ujarnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here