WAJAH Nur Nilam Sari (kanan) seiras Allahyarham ibunya, Junainah Johari.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

PERTAMA kali saya menatap wajah gadis manis bersuara lunak ini adalah pada 18 Februari 2019 ketika dia datang ke rumah sahabat saya bersama empat orang abangnya.

Ketika itu, saya hanya memerhatikannya dari jauh dan dia nampak malu-malu. Tidak sepatah pun perkataan keluar dari bibirnya kerana dia sekadar mendengar bicara abang-abangnya, Mohamed Ilham, Mohamed Yasin, Mohamed Hidayat dan Mohamed Syafi’e dengan tuan rumah.

Bagaimanapun setelah beberapa kali bersua muka dengannya di tempat yang sama, melihat wajahnya, suaranya yang manja ketika berbicara dan bahasa tubuhnya mengingatkan saya bahawa dia saling tidak tumpah seperti Allahyarham ibunya.

GAMBAR kenangan Nur Nilam Sari dalam dakapan ibunya, Allahyarham Junainah Johari ketika usianya sebulan.

Itulah Nur Nilam Sari, anak bungsu daripada lima beradik dan anak kepada bekas penyanyi Ideal Sisters, Allahyarham Junainah Johari atau lebih mesra disapa Nana dengan Datuk M. Nasir.

Apabila ibunya meninggal dunia kerana lelah pada 8 Ogos 1998, Nur Nilam Sari yang dilahirkan pada 23 Mei 1998, ketika itu baru berusia dua setengah bulan. Sejak itu, saya tidak pernah mendengar khabar tentangnya apalagi melihat wajahnya, selain mendengar lagu “Nur Nilam Sari” lirik oleh Allahyarham Loloq dan lagu oleh Search dan M. Nasir nyanyian Awie yang sering berkumandang di radio ketika itu.

Melalui satu posting Norm
Norell (Datin Norma Norell) dalam Facebook yang dikongsi bersama Nilam Sari (Nur Nilam Sari) bertarikh 25 Disember 2017, lagu tersebut dicipta ketika usia Nur Nilam Sari lapan minggu dan sebagai menzahirkan rasa syukur si ayah dengan kehadiran anak perempuan yang dinanti-nantikan dalam keluarga berkenaan.

KUMPULAN Ideal Sisters dianggotai oleh (dari kiri) Junaidah [email protected], Allahyarham [email protected] dan ibu saudara mereka, Azizah.

Jika diimbas kembali cerita lucu bagaimana ibunya sanggup mengikut petua orang tua-tua kononnya dengan ‘mencuri’ sendok, impiannya untuk mendapatkan anak perempuan akan tercapai pasti membuatkan anda tersenyum sendiri kerana Nana sanggup mencuri sendok di rumah kakak kembarnya, Dadaa (Junaidah) dan artikel eksklusif itu ditulis oleh wartawan hiburan, Huzzaini AR Kamaluddin dan disiarkan di Majalah URTV pada tahun 1997.

Bagaimanapun takdir menentukan segalanya, ketika keluarga besar ini diulit kebahagiaan dengan kelahiran ‘puteri impian,’ ibunya pergi menyahut panggilan Illahi meninggalkan si kecil yang tidak faham erti sebuah kehilangan.

Apa yang nyata dalam usianya hampir mencecah 23 tahun, setiap kali mendengar lagu “Nur Nilam Sari” ramai yang tertanya-tanya di manakah dia dan apa khabar ‘permata hati’ Allahyarham Nana dan M. Nasir, ini?

Walaupun sudah dua tahun saya mengenali, Nur Nilam Sari atau lebih mesra disapa Nilam tetapi amat sukar untuk mendapatkan cerita daripadanya kerana perasaan malu yang begitu menebal di jiwanya. Tetapi dengan izin abang sulungnya Ilham yang juga penyanyi kumpulan Pitahati, akhirnya Rabu lalu beliau bersetuju untuk saya ‘menyelami’ hatinya.

Dalam keluarga yang mempunyai empat anak lelaki, Nilam bagaikan terdidik untuk menjadi seorang anak yang kuat kerana ibunya pergi ketika dia masih terlalu ‘merah’ dan tidak kenal erti sebuah kehidupan.

SETELAH dipujuk akhirnya Nur Nilam Sari mahu juga bergambar.

Bagaimanapun Nilam beruntung kerana bukan sahaja disayangi oleh abang-abangnya malah dalam hidup hari ini yang penuh cabaran apa yang membanggakan, Nilam tidak dibiarkan bersendirian. Bersama abang-abangnya, anak-anak Allahyarham Nana ini mendalami agama sebagai pedoman hidup mereka.

Tetapi dalam belai kasih abang-abangnya Ilham, Yasin dan Hidayat (ahli kumpulan Pitahati) dan Syafi’e penyanyi Ramayan, sesuatu yang pasti Nilam tidak meminati bidang seni.

“Saya pernah membuat persembahan pentas bersama kawan-kawan ketika sekolah menengah dahulu tetapi untuk menceburi bidang seni seperti abang-abang saya, mungkin tidak kerana itu bukan jiwa saya,”kata Nur Nilam Sari ketika ditanya tentang bidang seni.

Disebabkan itu tidak hairanlah Nur Nilam Sari sekadar menyokong kerjaya dan minat abang-abangnya kerana dia lebih meminati bidang psikologi dan menyayangi kanak-kanak.

Nur Nilam Sari pernah menuntut di Universiti HELP dalam bidang Asas Seni (Foundation in Arts) selama dua tahun bermula 2017. Bagaimanapun pada tahun 2019 beliau mengikuti bidang psikologi di universiti yang sama.

NUR Nilam Sari bersama kanak-kanak ketika mengajar di Q-Dees Bandar Manjalara (Tadika Cahaya Alam), Kepong.

“Saya memilih bidang itu kerana saya tahu ramai pelajar yang mengalami gangguan psikoloji kerana masalah tertentu. Tujuan saya mahu membantu mereka kerana saya juga remaja dan saya faham masalah mereka,” jelas Nilam.

Bagaimanapun tidak sampai setahun mengikuti bidang itu, Nilam menukar bidang pengkhususannya dan kini beliau di tahun pertama untuk melayakkannya menggenggam Ijazah Sarjana Muda dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UNITAR (Universiti Tun Abdul Razak).

“Insyaa-Allah dengan izin-Nya dua tahun lagi saya harap dapat menggenggam Ijazah Sarjana Muda dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak untuk melayakkan saya menjadi guru di Tadika,” kata Nilam penuh harapan.

Menurut Nilam, minatnya dari bidang psikologi beralih kepada kanak-kanak semuanya bermula apabila beliau berpeluang mengajar di Tadika Cahaya Alam Q-dees, di Bandar Manjalara selama tiga bulan bermula Januari 2019.

“Selama tiga bulan mengajar kanak-kanak yang keletah dan manja membuatkan saya jatuh hati pada mereka. Sememangnya sejak dahulu saya suka kanak-kanak dan peluang bersama mereka membuatkan saya mahu berkongsi kasih sayang dan menyelami naluri mereka.

MELALUI satu posting Datin Norma Norell yang dikongsi dalam Facebook Nilam [email protected] Nilam Sari bertarikh 25 Disember 2017, lagu “Nur Nilam Sari” dicipta ketika usia Nilam lapan minggu.

“Jika ada rezeki dengan segulung ijazah yang akan saya milikki nanti sebagai syarat saya mahu membuka Tadika sendiri untuk berbakti kepada kanak-kanak sebelum mereka menjejaki alam persekolahan yang sebenar,” kata Nilam dengan penuh harapan.

Itulah Nur Nilam Sari, gadis manis yang menyimpan cita-cita dan impiannya untuk memilikki sebuah tadika agar dapat mendidik kanak-kanak dan menyelami naluri mereka yang lembut jiwanya sebelum melayari hidup di alam persekolahan dalam menuju sebuah kehidupan yang lebih sempurna.

NUR Nilam Sari bersama abang sulungnya (atas) – Mohamed Ilham dan abang keduanya, Mohamed Yasin (bawah).

Ketika rancak berbual tentang impiannya untuk mempunyai tadika sendiri, Nilam yang mulanya petah berkata-kata terdiam seketika apabila saya bertanya apakah beliau mengenali Allahyarham ibunya. Meskipun hatinya bagai dibuai sayu dengan pertanyaan itu namun Nilam bijak menyembunyikan rasa hatinya dan dengan tenang Nilam berkata;

“Saya memang tidak pernah kenal Mama kerana Mama ‘pergi’ ketika saya kecil. Tetapi melalui cerita orang yang saya kenal dan setiap kali menatap gambar-gambar lama yang tersimpan di photobook di rumah walaupun tidak pernah menatap wajah Mama, saya sentiasa rasa ikatan yang kuat dan tidak terungkap terhadapnya.”

NUR Nilam Sari bersama abang ketiganya, Mohamed Hidayat dan isteri Hidayat, Nadia Yasliza (anak kepada Sabree Fadzil).

Dengan lembut saya cuba mendasari hatinya dan apabila ditanya jika berpeluang dibesarkan oleh ibunya apakah ia satu momen indah buatnya, dalam nada yang amat perlahan Nilam berkata;

“Saya pernah tertanya-tanya pada diri saya tetapi jawapannya tidak mudah untuk dijawab. Terdapat banyak sangat yang ingin saya luahkan kepadanya. Namun jauh di sudut hati saya hanya satu…impian saya…untuk memeluk Mama sekuat-kuat mungkin dan mencium harumannya supaya saya tidak melupakannya walau sesaat pun!”

Nur Nilam Sari

Pinjam Sinarmu nur nilam sari
Buatku Merempuhi Malam
Kabus Berlabuh Bagaikan awan
Mengaburi Penglihatan
Menyekat maksud di sempadan
Redup yang kupasangkan angan
Sekadar berhasrat
Berlindung dalam lena
Pejamkan mata untuk
Kulupakan sengsara
Berapa kerdipan
Melaraskan jiwa
Menyusuk ke arah asalku
Senyumanmu satu azimat
Buat diriku yang hina
Manusia terpinggir melara
Tak pernah kenal erti bahagia
Namun kumasih gembira
Bagiku rahmat semuanya
Oh mungkin kalau nasib ku berbeza
Aku ‘tak mampu
Menilaikan dikau
Hoo, aku berani
Berani aku
Katakan dirimu itu
Dewi kayangan
Senyumanmu satu azimat
Buat diriku yang hina
Manusia terpinggir melara
Tak pernah kenal erti bahagia
Namun ku gembira
Bagiku rahmat semuanya
Peperangan yang melanda
Diriku ini sudah berakhir…

Lirik: Loloq
Lagu: Search dan M. Nasir
Dinyanyikan: Awie Wings

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here