JASNI Shafie (kiri) dan Norismadi Abd. Manap terikat 51 undi dalam persaingan Presiden SAM 2020-2023. - Foto SAM.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

MUNGKIN satu catatan ‘Hari Ini Dalam Sejarah’ bagi Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang ditubuhkan pada 21 Februari 1969.

Buat kali pertama, kedudukan siapa Presiden SAM boleh tergantung setelah satu mesyuarat agung pemilihan Jawatankuasa Eksekutifnya (Exco) berlangsung..

Yang mana satu wajar diucapkan tahniah bagi perebutan Presiden SAM penggal 2020 (2021)-2023, hari ini?

Apakah, “Tah…”.kepada penyandang, Datuk Jasni Shafie dan “…niah!” buat pencabarnya, Norismadi Abd. Manap?

Kedua-duanya terikat 51 undi dalam mesyuarat agung tritahunan pemilihan di sebuah hotel di Kelana Jaya, Selangor.

Jasni yang mulai menyandang kerusi No. 1 SAM sejak 9 Jun 2018, daripada Northern Corridor Promotion (NCP) selain pengulas sambilan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Norismadi Abd. Manap yang juga daripada RTM, merupakan Naib Presiden SAM penggal 2018-2020 (2021).

Namun jawatan Timbalan Presiden baharu persatuan diraih Ahmed Faisal Jamal (RTM) yang menewaskan seorang lagi calon yang juga Naib Presiden sekarang, Izahar Atan (Karangkraf) 55 berbalas 47 undi.

Faisal sebelum ini menjadi Setiausaha Agung SAM – jawatan yang kini secara rasminya dimenangi tanpa bertanding oleh Asan Ahmad (hubmedia). Bendahari SAM turut menjadi milik Azhari Mohd. Yusop daripada Sports Images Malaysia tanpa bertanding.

Dua kerusi Naib Presiden SAM yang disaingi tiga penjuru pula dimenangi Mohd. Hazreen Nor Mubarak (TV3) dan Mohd. Hafizal Hamad (Astro Arena) setelah masing-masing beroleh 84 dan 58 undi, meninggalkan Hussain Said (BH) dengan 41 undi.
Menariknya pemilihan kali ini turut menyaksikan keputusan terikat 57 undi bagi dua calon kerusi Ahli Exco SAM antara Ajitpal Singh Dhaliwal (New Straits Times – NST) dan Vikneswaran Raman (Bernama).

ANTARA yang menang dan kalah pemilihan Exco SAM 2020-2023 di Kelana Jaya, Selangor, hari ini. – Foto FB Rizal Sarbini.

Empat Ahli Exco yang menang selesa dalam persaingan tujuh penjuru itu ialah Zuriati Zulmi (Bernama, 77 undi), Wan Nor Bazly Wan Azmi (Astro Arena, 77), Ku Mohd. Lufti Ku Yahya (Sports247, 75) dan Mohammad Rozaidi Zulkifl (Utusan Malaysia, 74).

Difahamkan, rujukan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyatakan SAM perlu mengadakan pemilihan semula bagi dua jawatan Presiden dan Ahli Exco yang terikat itu dalam tempoh dua minggu.

Namun jika menurut amalan dan perlembagaan kebanyakan persatuan, Presiden juga masih mempunyai hak undi pemutus atau veto sekiranya berlaku keputusan seumpama itu.

ROS juga dikatakan sudah memberi kelulusan untuk pengundian diadakan secara dalam talian memandangkan keadaan pandemik Covid-19 sekarang.

Terdapat lebih 20 ahli SAM yang bertugas di luar Lembah Klang yang sukar menghadiri mesyuarat ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun mereka masih mempunyai hak untuk mengundi.

Kaedah pengundian online juga dikatakan sudah diputuskan Exco SAM terdahulu namun mendapat bantahan keras pihak tertentu dalam mesyuarat hari ini.

EXCO SAM 2020 (2021)-2023

Presiden: Datuk Jasni Shafie (NCP) atau Norismadi Abd. Manap (RTM)
Timbalan Presiden: Ahmed Faisal Jamal (RTM)
Naib Presiden: Hazreen Nor Mubarak (TV3) dan Mohd. Hafizal Hamad (Astro Arena).
Setiausaha Agung: Asan Ahmad (hubmedia)
Bendahari: Azhari Mohd. Yusop (Sports Images Malaysia)
Ahli Exco: Zuriati Zulmi (Bernama), Wan Nor Bazly Wan Azmi (Astro Arena), Ku Mohd. Lufti Ku Yahya (Sports247), Mohammad Rozaidi Zulkifl (Utusan Malaysia), Ajitpal Singh Dhaliwal (NST) atau Vikneswaran Raman (Bernama).- BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here