Oleh Ahmad Abd Hamid

PANAS perang mulut terbuka di kalangan pemimpin UMNO seperti tersiar dalam media. Becuk sungguh. Seorang berkata bodoh kepada seorang yang lain dan yang dikata pula menjawab orang yang memanggilnya bodoh sebagai bangang!

Nampaknya perpaduan dan kesepakatan yang dipupuk dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini hanya sementara dan terungkai hanya selepas beberapa hari. Apa yang berlaku sekarang ibarat mencuci kain kotor di tempat awam.

Isu kerjasama dengan Bersatu antara isu menyebabkan perselisihan. Walau pun PAU sudah membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu, ada pihak yang mahu kerjasama ini diteruskan seperti sekarang.

Ini diikuti pula oleh isu pemilihan pucuk pimpinan parti yang mewujudkan perang antara kelompok yang mahu pemilihan diadakan menurut jadual tahun ini dengan kelompok yang mahu pemilihan ditangguhkan.

Masing-masing ada alasan. Yang mahu pemilihan diadakan berhujah itulah janji yang telah diulang-ulang kepada ahli parti ketika pemilihan tahun 2018, iaitu pemilihan selepas penggal itu tidak akan ditangguhkan. Ini kerana pemilihan 2018 juga dibuat setelah penangguhan.

Mereka mahu pemilihan ini menjadi penanda aras hala tuju UMNO. Dalam meneruskan agenda parti dan menghadapi PRU-15, pemilihan wajar dijadikan sebagai medan penentuan memilih barisan kepimpinan parti untuk penggal seterusnya.

Bagi mereka, barisan kepimpinan pasca pemilihan ini yang akan memikul tanggung jawab meneruskan survival parti. Malah kepimpinan ini juga yang berhak memimpin parti mengharungi PRU-15 serta menentukan adakah parti patut meneruskan atau menamatkan kerjasama dengan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), khususnya Bersatu.

Golongan yang mahu pemilihan ditangguhkan pula menuduh pihak yang mendesak ia diadakan sekarang mempunyai muslihat tersendiri. Bagi mereka, parti perlu lebih dahulu diperkukuh sebelum dibuat pemilihan.

Mereka mendakwa, pemilihan pada waktu ini boleh memecahkan parti dan menjadikan parti lemah. Inilah juga alasan yang sering disuarakan setiap kali menjelang pemilihan parti untuk memberi justifikasi mengelakkan pertandingan bagi jawatan utama.

Untuk kelompok ini, jawapan tegas diberi oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, yang mengingatkan bahawa sekali pun pemilihan UMNO ditangguhkan pada 2018, parti itu tewas juga dalam PRU-14.

Kerana itu sebenarnya isu memperkuat parti untuk mengelak pemilihan dianggap tidak relevan. Hakikatnya, seperti yang ditegaskan oleh Khairy, ada kemelut dalam UMNO. Inilah yang akan terus melemahkan parti jika tidak diatasi. Kerana itu pemilihan kepimpinan baharu adalah jalan keluar terbaik.

Pemimpin dan ahli UMNO seharusnya tidak cuba menolak hakikat wujudnya kemelut ini dan hakikat suara-suara tidak sehaluan semakin kuat berbunyi. Ini termasuklah desakan agar Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada barisan pelapis, dan beliau memberi tumpuan kepada kes mahkamahnya.

Malah seorang pemimpin UMNO membuat penilaian serius dengan menyifatkan Zahid sebagai tidak memiliki sifat kepemimpinan. Kerana itu ada ahli-ahli parti bersuara tidak sehaluan dengannya serta tidak patuh dengan arahannya.

Buktinya, walau pun UMNO sudah memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, menteri daripada parti itu tetap terus berada dalam PN. Begitu juga yang memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Nyata kemelut yang dikatakan melanda UMNO bukan sahaja memang wujud tetapi ia sebenarnya bagai luka yang dalam, bukan hanya sekadar ribut dalam cawan kopi. Zahid wajar membaca apa yang tersirat dan mencari penyelesaian terbaik.

Yang penting, wajarkah perang mulut dan kemelut dalam parti ini dibiarkan berterusan sehingga membosankan kelompok akar umbi yang menjadi penyokong kuat parti, serta dipandang sinis oleh rakyat?

Tentulah tidak manis bagi sebuah parti yang mempunyai sejarah panjang mentadbir negara bercakaran. Justeru wajarkah kemelut dibiar berterusan sehingga boleh menghakis keyakinan ramai terhadap parti atau mencari jalan keluar demi survival parti? Fikirlah, kerana fikir itu pelita hati.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here