Konvensyen Islamik Digital bertujuan untuk mengimarahkan kehadiran bulan Ramadan.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

LEBIH kurang seminggu lagi umat Islam akan melangkah ke bulan Ramadan dan bermulalah rukun Islam ketiga iaitu ibadat puasa.

Bagi merai kehadiran bulan mulia itu, Pertubuhan Sayang Al-Quran menganjurkan Konvensyen Islamik Digital 2021 (K.I.D) selama tiga hari, dua malam di Shaftsbury, Putrajaya yang berakhir hari ini (4 April).

Konvensyen yang bertemakan Di Ambang Cinta Ramadan diadakan sebagai inisiatif bagi mengimarahkan kembali pesta ibadat sempena Ramadan dengan berkonsepkan norma baharu.

Pelbagai pengisian yang bermakna telah disusun sebelum dan sepanjang bulan Ramadan yang sesuai untuk seisi keluarga.

Pelbagai pihak terlibat dalam konvensyen yang dilaksanakan secara fizikal dan online itu.

Pengarah Program, Saiful Islam Mohd. Nasser Al Haffiz berkata, pelbagai aktiviti diatur yang boleh diikuti menerusi beberapa platform atas talian mahupun secara fizikal.

Katanya, sambutan Ramadan pada tahun lalu agak hambar berikutan negara dilanda Covid-19 namun pihaknya berharap dapat mengimarahkan Ramadan kali ini walaupun melalui program atas talian.

“Masyarakat layak untuk menikmati Ramadan tahun ini. Inilah kita kumpul elemen untuk tarbiahnya (Pendidikan), elemen untuk madrasah Ramadan, elemen untuk hiburan Islamik.

“K.I.D 21 adalah program ilmuan secara digital dan fizikal yang akan menyatukan individu dalam pelbagai bidang. Program ini umpama mukadimah kerana ada empat siri lagi. Insya-Allah untuk siri-siri akan datang pasti lebih havoc dan sarat dengan pengisian yang terbaik,” katanya.

Tambah Saiful, program K.I.D 2021 turut disertai oleh ramai ahli ilmuan iaitu Ustaz Don Daniyal, Ustaz Zul Ramli, Ustaz Elyas Ismail, Imam Muda Asyraf dan ramai lagi. Manakala artis yang turut menjayakan program K.I.D ialah Hijjaz, Inteam, Zayne dan Rabbani.

Katanya, selain berkongsi ilmu, penganjuran K.I.D juga bertujuan untuk menerapkan rasa kecintaan dan sayang pada al-Quran, iaitu mukjizat yang diturunkan dalam bulan Ramadan.

Persembahan artis nasyid juga ada sepanjang konvensyen berlangsung.

Pengisian program selama dua hari tiga malam itu dijayakan secara live dan fizikal seperti pertandingan azan, ceramah, motivasi, debat, kuliah agama serta perniagaan untuk peniaga mempromosi produk mereka.

Slot motivasi ada menyentuh tentang topik Hamba Ramadan, Kisah Penghijrahan Artis, Travelog Muhamad Bertemu Tuhan dan Jalan-Jalan Gelap.

“Konvensyen ini tidak berakhir di sini, sebaliknya ia akan berterusan sepanjang Ramadan. Sebab itulah kita ada juga Live TV yang akan menyiarkan Live Tarawih, Tahlil Kubra, Qiamullail, Munajat Time dan Live Pesta Ibadah Malam 27 Ramadan.

“Peminat juga boleh menonton persembahan nyanyi kumpulan nasyid menerusi slot Akustik Nurani. Tidak kurang juga akan diadakan Jualan Amal Qaseh, program infak dan sedekah sempena Ramadan,” terangnya tentang aktiviti K.I.D.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here