PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya melumpuhkan satu sindiket kartel projek dengan penahanan tujuh orang termasuk seorang ketua sindiket berusia 47 tahun lewat tengah malam semalam.

Menurut sumber, sindiket kartel projek ini telah memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.8 bilion. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang.

Ketua sindiket tersebut mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender/sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat. Beliau dikatakan mewujudkan 150 buah syarikat yang berbeza dengan menggajikan individu-individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki beliau sendiri.

Tumpuan sindiket ialah terhadap projek penyelenggaraan fasiliti dan projek-projek pembangunan.

Selain itu, Sindiket ini dipercayai mendapat kerjasama “orang dalam” untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender / sebut harga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender / sebut harga.

Taktik “mengepung harga” iaitu dengan menyertai sesuatu tender dengan menggunakan sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan ketua sindiket. Syarikat-syarikat terbabit akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan.

Hasil risikan yang dijalankan juga mendapati sindiket ini telah menggunakan nama beratus-ratus individu untuk membuka syarikat-syarikat di bawah naungannya. Setiap individu akan dibayar gaji bulan dan komisen sebagai imbuhan bagi penggunaan nama dan butir-butir peribadi.

FOTO: SPRM.

Dipercayai butir-butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu. Setiap syarikat juga dikatakan menggunakan penyata kewangan palsu untuk melayakkan mereka memasuki tender / sebut harga berkenaan.

Satu intipan dan pemantauan telah dijalankan di pusat operasi sindiket ini malam tadi di mana hampir keseluruhan ahli-ahli sindiket berkumpul untuk mengisi borang-borang tender. Serbuan SPRM mengejutkan semua yang hadir dan beberapa tangkapan telah dibuat malam tadi.

Hari ini, kesemua mereka telah dibawa ke Mahkamah Majisteret Putrajaya, di sini bagi tujuan tahanan  reman selama lima hari mulai 5 April  hingga 10 April untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika dihubungi mengesahkan tangkapan. Kes disiasat di bawah seksyen 17 dan 18 Akta SPRM.
Beliau tidak menolak lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here