FOTO: SPRM.

SYABAS SPRM kerana terus mengganas. Syabas juga kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Azam Baki. Tanpa gerakan beliau semua itu tidak akan bergerak.

Tindakan SPRM melumpuhkan sindiket Kartel Projek bernilai lebih RM3 bilion cukup menggemparkan.

Pihak berkuasa itu tidak akan bagi muka lagi. Sesiapa yang hendak melarikan diri, inilah masanya. Masuklah ke lubang cacing. Sorokkan diri. Pegawai-pegawai kerajaan yang korup (saya ulang k.o.r.u.p), sila bagitau anak isteri masing-masing, jika abang hilang jangan dicari kerana abang ini seorang yang korup.

Begitu dengan tauke-tauke sindiket. Siap anda semua.

Ternyata SPRM bukan pilih bulu. Janganlah dituduh pihak berkuasa itu macam-macam. Setiap hari ada sahaja kisah pelbagai pihak memakai baju oren dan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan rasuah dan mengkhianati negara dan rakyat.

Apakah mereka tidak sedar pelakuan rasuah mereka itu cukup berdosa di sisi Tuhan. Sebagai orang Islam amat memalukan satu keturunan jika dia didakwa atas pelakuan itu.

Dalam kejadian membabitkan kartel projek itu, SPRM telah menahan tujuh orang termasuk seorang ketua sindiket berusia 47 tahun lewat tengah malam semalam.

Menurut sumber, sindiket kartel projek ini telah memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.6 Billion. Sindiket ini telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang.

Ketua sindiket tersebut mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender/sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat. Beliau dikatakan mewujudkan 150 syarikat yang berbeza dengan menggajikan individu-individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki beliau sendiri.

Sebelum ini SPRM menahan berpuluh-puluh pegawai JPJ atas kesalahan yang sama. Semuanya — orang Melayu yang beragama Islam.

Tidak terbayang kita ada sindiket yang semacam ini di negara ini. Siapa lagilah muka-muka orang kita yang akan diseret ke mahkamah selepas ini.

Sebelum ini SPRM menahan berpuluh-puluh pegawai JPJ atas kesalahan yang sama. Semuanya — orang Melayu yang beragama Islam. Kerana wang, agama digadaikan, dan status sebagai pegawai kerajaan dijahanamkan.

Tumpuan sindiket kartel projek itu ialah terhadap projek penyelenggaraan fasiliti dan projek-projek pembangunan.

Selain itu, sindiket ini dipercayai mendapat kerjasama “orang dalam” untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender / sebut harga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Siapa itu “orang dalam” — kita tunggu lagi pendedahan daripada Datuk Seri Azam. Jangan bagi muka Datuk Seri. Itu adalah amanah anda.

Persetankan orang yang kondem Datuk Seri. Hasil pemerhatian media, Datuk Seri telah melakukan kecemerlangan kepada usaha pembanterasan rasuah di negara ini.

Siang malam Datuk Seri memikirkan mengenai soal-soal penguatkuasaan anti-rasuah. Sehinggakan kesihatan diri pun terabai. Kita semua tahu hal itu.

Modus operandi kartel dijalankan dengan membayar rasuah kepada “orang dalam” untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender/sebut harga.

Taktik “mengepung harga” iaitu dengan menyertai sesuatu tender dengan menggunakan sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan ketua sindiket. Syarikat-syarikat terbabit akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan.

Hasil risikan yang dijalankan juga mendapati sindiket ini telah menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat-syarikat di bawah naungannya. Setiap individu akan dibayar gaji bulan dan komisen sebagai imbuhan bagi penggunaan nama dan butir-butir peribadi.

Dipercayai butir-butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu. Setiap syarikat juga dikatakan menggunakan penyata kewangan palsu untuk melayakkan mereka memasuki tender / sebut harga berkenaan.

Satu intipan dan pemantauan telah dijalankan di pusat operasi sindiket ini malam tadi di mana hampir keseluruhan ahli-ahli sindiket berkumpul untuk mengisi borang-borang tender. Serbuan SPRM mengejutkan semua yang hadir dan beberapa tangkapan telah dibuat malam tadi.

Sementara itu, Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika dihubungi mengesahkan tangkapan. Kes disiasat dibawah seksyen 17 dan 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau tidak menolak lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Kolum Cuit ini sudah banyak kali membangkitkan isu ini. Entahlah sampai bila gejala ini akan berakhir.”

Terlalu banyak agensi-agensi kerajaan yang dikaitkan dengan gejala rasuah. Selain JPJ, Imigresen pun terlibat, PDRM — selain kartel daging import dan berbagai lagi.

Saya memohon Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohammad Zuki Ali campur tangan dalam hal ini.

Kakitangan awam Tan Sri ini semakin korup dan gejala itu sedang membarah.

Kita tidak tahu di mana sikapnya? Mengapa perlakuan rasuah kakitangan awam semakin menjadi-jadi. Apakah mereka terikut-ikut dengan trend orang-orang politik?

Adakah mereka terikut-ikut dengan pepatah “bapa borek, anak rintik” atau orang politik yang mengikut pelaku yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan itu?

Wahai Tan Sri KSN, bertindaklah. Tan Sri terlalu senyap…

— BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here