GAMBAR: Wikimedia Commons.

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

LG Electronics hari ini umum pemberhentian bisnes telefon pintar kerana mengalami kerugian.

Setelah enam tahun berturut-turut mengalami kerugian berjumlah hingga RM18 bilion sudah tiba masanya bagi syarikat itu mencari pilihan lain, lapor bbc.com.

LG pernah terkenal dengan pelbagai inovasi, termasuk melengkapkan produknya dengan kamera sudut ultra lebar hingga muncul sebagai pengeluar telefon pintar terbesar pada 2013.

Pihak atasan syarikat itu berkata pasaran pengeluaran telefon pintar kini terlalu kompetitif untuk bertahan.

Berbeza daripada Samsung dan Apple yang merupakan dua jenama terbesar dalam sektor pengeluaran  telefon pintar, LG tidak dapat bersaing kerana pelbagai isu perkakasan dan perisian.

Setelah sekian lama bergelut dengan kerugian, LG telah cuba untuk menjual sebahagian daripada bisnesnya, tetapi gagal.

Walaupun di Amerika Utara LG masih bertahan sebagai jenama ketiga paling popular, tetapi di pasaran lain di dunia keadaannya berbeza.

Di negara sendiri, Korea Selatan, telefon buatan LG masih digunakan dengan meluas.

Satu kenyataan yang dikeluarkan LG hari ini berkata keputusan untuk keluar daripada sektor pembuatan telefon pintar ialah bagi membolehkan syarikat itu menumpu kepada pengeluaran komponen kenderaan elektrik, perkakasan saling hubung pintar, rumah pintar, robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut firma Counterpoint, pada tahun lalu LG mengeksport hanya 28 juta unit telefon berbanding 256 juta unit yang dijual oleh Samsung.

Tahun ini LG hanya menguasai kira-kira dua peratus daripada pasaran telefon pintar global.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here