Oleh Sarfarizmal Md Saad

SUKAR untuk mempercayai wujudnya sebuah sindiket memonopoli sejumlah besar tender kementerian dan agensi kerajaan sejak lapan tahun lalu tanpa disedari. Bukan sedikit jumlah yang terlibat RM3.8 bilion.

Ternyata sekali kita patut berbangga di atas kejayaan SPRM mendedahkan perbuatan yang terkutuk ini.

Dengan tertangkap tujuh anggota termasuk ketuanya yang berusia 47 tahun, tentunya banyak lagi yang bakal terbongkar nanti. Tidak mustahil jika ada campurtangan kakitangan kerajaan atau orang politik.

Dengan catatan nilai projek kesemua sebanyak RM3.8 billion, mungkin ini boleh dianggap sebagai satu nilai penyelewengan yang terbesar setakat ini?

Apa yang menjadi tanda tanya bagaimana sindiket ini boleh beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang. Hebat sangatkan modus operandinya sehingga gagal dihidu pihak berkuasa sebelum ini.

Bagi seorang ketua sindiket untuk mengawal 150 buah syarikat yang digunakan bagi menyertai tender/sebut harga di kementerian dan agensi kerajaan sejak enam tahun dahulu, bukan kerja yang enteng dan mungkin ada orang lain juga dibelakangnya.

Kejayaan yang dicapai SPRM menunjukkan sebagai sebuah badan berintegriti tinggi dan bebas, ia tidak sesekali ‘memilih bulu’ dalam usaha membanteras amalan rasuah di negara kita.

Justeru kita dapat lihat bagaimana SPRM sentiasa aktif menyiasat ahli politik, menteri, penjawat awam dan para usahawan sekiranya ada laporan dibuat berkaitan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.

Sehubungan itu, kita berharap SPRM memburu ‘orang dalam’ yang dikatakan menjadi pembantu kepada syarikat-syarikat di bawah kawalan kartel ini dibenarkan masuk tender atau sebut harga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Jika tiada ‘orang dalam’, agak mustahil kartel tersebut mampu menggaut pelbagai jenis projek bernilai sehingga ribuan juta ini.

Semua pihak sama ada orang awam dan parti politik harus memahami apa yang cuba dilakukan SPRM dengan sama-sama menyokongnya dan bukan mengkritik apabila merasakan kepentingan mereka terjejas.

Tidak seharusnya timbul bahawa badan penguatkuasaan ini menjadi kuda tunggangan parti yang memerintah untuk tujuan politik. Malah, jika tidak bersalah tidak ada apa yang perlu ditakutkan.

Harus kita sedari peranan SPRM hanya sebagai penyiasat dan pendakwaannya lebih tertakluk kepada Pejabat Peguam Negara. Tanpa sokongan dan bantuan semua pihak, usaha membasmi rasuah tidak mudah terutamanya dengan perkembangan teknologi masa kini.

Berjaya atau tidak kita memerangi salah satu dosa besar ini, bergantung kepada kesungguhan dan komitmen semua pihak termasuk ahli politik dari kerajaan kerajaan dan juga pembangkang. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here