Datuk Hussamuddin Yaacub

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM – Sebuah Pasukan Teras (Core Team) Rasuah Busters (PTRB) membariskan para pemikir dan penggerak terdiri daripada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan pelbagai latar belakang telah diwujudkan.

Rasuah Busters merupakan inisiatif di bawah Kempen Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa, yang melihat rasuah sebagai satu pandemik yang perlu dibanteras secara habis-habisan.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, PTRB bertindak sebagai gandingan pemikir dalam penyusunan strategi, pengurusan komunikasi dan gerak kerja serta pembentukan jalinan strategik dalam kalangan rakyat Malaysia bagi membawa sebuah reformasi moral dan integriti bermatlamat berjuang seiring membanteras pandemik rasuah.

Beliau berkata, PTRB sebagai sebahagian daripada gabungan sukarelawan bergandingan dalam kepakaran dan kapasiti masing-masing dengan komitmen yang sama.

“Inilah pasukan yang komited dan bersungguh-sungguh menjayakan #RasuahBusters yang akan bersama anda, seluruh rakyat Malaysia menggempur rasuah habis-habisan hingga terbinanya sebuah #NilaiMoralKarakterBangsa Malaysia,” kata Hussamuddin juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf pada sidang akhbar memperkenalkan PTRB di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, hari ini.

Beliau berkata, PTRB turut menjalankan pelbagai usaha untuk memastikan impak keberhasilan gerakan #RasuahBusters berupaya mencapai segmen masyarakat di seluruh peringkat ekosistem multi-etnik dan multi-budaya Malaysia.

Katanya, gabungan yang bertindak secara efisien ini diharap dapat melakukan transformasi sistem nilai dalam konteks Negara ini secara harmoni berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

“Rasuah perlu diatasi dengan memutuskan rantaian di peringkat kecil atau ‘ikan bilis’ sehingga ke peringkat atasan atau ‘jerung’

“Langkah itu penting memandangkan rasuah kini sudah berakar umbi dalam ekosistem ekosistem masyarakat,”katanya.

Katanya lagi, gerakan Rasuah Busters mengambil pendekatan desentralisasi iaitu mewujudkan Pasukan Pusat Rasuah Busters (PPRB) di peringkat pusat untuk bertindak sebagai pemula.

Mengulas lanjut, PPRB bertindak membentuk kesedaran dan penyediaan material asas, kepakaran, skil dan pengetahuan berkaitan bagi memulakan dan memperkembangkan gerakan #RasuahBusters.

Untuk meneruskan lagi kesinambungan Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa jelasnya lagi, beliau melancarkan kempen dengan slogan ‘Mak Kata Jangan’ sebagai sebahagian daripada strategi memperhebatkan lagi misi #RasuahBusters.

Pelancaran slogan terbaharu itu juga katanya, menandakan fasa baharu dalam kempen yang dijalankan bagi membendung amalan rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya yakin bahawa golongan ibu tidak kira apapun bangsa mahupun agama mereka mempunyai peranan yang cukup besar dalam memelihara dan memperbaiki nilai dan karakter seseorang anak,”katanya. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here