Ketua sindiket kartel projek hidup dalam kemewahan

PUTRAJAYA – Ketua sindiket kartel projek kerajaan yang bergelar Datuk bukan hanya menyimpan RM3.5 juta wang tunai di rumahnya tetapi juga didapati turut memiliki sebuah kapal mewah dan dua buah helikopter.

Wang tunai berkenaan telah ditemukan dalam serbuan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Dalam serbuan itu, SPRM menyita kenderaan mewah bernilai RM 15.7 juta berserta nilai hartanah termasuk banglo, rumah kedai, pejabat bernilai RM29 juta. Ini menunjukkan sindiket berkenaan meraih kekayaan luar biasa daripada kegiatan jahat itu.

Berikutan ini, sebanyak 644 akaun individu dan syarikat dianggarkan bernilai RM100 juta telah dibekukan.

Kartel projek kerajaan ini diketuai oleh seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun ini yang membolot projek-projek kerajaan menerusi tender / sebutharga bernilai lebih RM3.8 billion. Difahamkan, sindiket ini telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga 2021.

Modus operandi kumpulan kartel adalah membuka lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji antara RM5,000.00 hingga RM8,000.00. Kesemua syarikat dimiliki suspek. Dipercayai 114 orang telah dijadikan ‘keldai’ yang mana nama mereka digunakan untuk membuka lebih 150 buah syarikat.

Kesemua syarikat ini akan digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender/sebutharga di kementerian dan agensi kerajaan. Maklumat tender / sebutharga termasuk spesifikasi projek dan harga siling projek akan disalurkan oleh individu dalam kementerian / agensi.

Hasil siasatan SPRM mendapati hampir kesemua syarikat yang digunakan menggunakan maklumat palsu dari segi kelayakan akademi, sijil profesional mahupun penyata kewangan untuk menyakinkan lembaga tender berhubung keupayaan syarikat-syarikat untuk melaksanakan projek. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here