Sebahagian daripada peralatan yang dirampas daripada sindiket godam sistem imigresen

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya melumpuhkan satu sindiket terbesar yang terlibat dalam pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu sehingga mengakibatkan kerugian kepada kerajaan mencecah ratusan juta ringgit.

Menurut sumber, lima orang termasuk Ketua Sindiket yang bergelar Datuk berjaya ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 buah lokasi sekitar Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi. Kesemua berusia antara 33 tahun hingga 43 tahun telah ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh SPRM dan JIM sejak setahun yang lalu.

Katanya, sindiket ini dengan kerjasama “orang dalam” telah berjaya mengodam pengkalan data JIM dengan memasang transmiter untuk membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat JIM.

Ini merupakan suatu pencerobohan ke dalam pengkalan data agensi kerajaan dan merupakan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius.

Keupayaan ahli-ahli sindiket mengodam sistem komputer JIM membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini. Dianggarkan ratusan ribu PLKS palsu telah dicetak oleh sindiket ini dengan bayaran antara RM6,000 – RM8,000 bagi setiap PLKS.

Isu ini pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.

Modus operandi sindiket ialah mengodam sistem imigresen dengan memasang transmiter di bilik komputer JIM dilakukan hasil kerjasama orang dalam.

Sumber berkata, “Sindiket ini berupaya mengodam, menukar dan menggunakan kata laluan pegawai-pegawai imigresen untuk memasukkan nama-nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapatkan PLKS secara sah. Walhal ia adalah hasil tindakan penggodaman sistem JIM.

“Yang lebih mengerunkan di mana, sindiket ini juga berupaya membuka dan menutup semula status “senarai hitam” atau “red alert” seseorang individu untuk membolehkan beliau melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang dengan bayaran tertentu. Kesemua operasi dilakukan di luar pejabat imigresen menggunakan transmiter dan sistem yang diklonkan dari pengkalan data imigresen,” jelas sumber itu lagi.

Serbuan semalam berjaya merampas peralatan komputer termasuk dua sistem komputer klon dan transmiter yang digunakan sindiket ini. Sindiket ini dipercayai sedang beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail.

Mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel-hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau menegaskan bahawa siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh dan memastikan kesemua ahli sindiket termasuk “orang dalam” dikenakan tindakan yang sewajarnya.

SPRM memuji ketegasan Ketua Pengarah JIM kerana sanggup mendedahkan kepincangan yang berlaku dan memberikan kerjasama penuh risikan dalam kes ini. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here