Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

KUALA LUMPUR – Penjawat awam akan dikenakan tindakan tegas sekiranya terlibat dalam mana-mana salah laku yang menjejaskan imej Perkhidmatan Awam termasuk dalam kes sindiket kartel tender kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki memberikan jaminan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam terbabit sekiranya terbukti bersalah.

“Saya amat kesal terdapat segelintir penjawat awam yang membenarkan diri mereka dipergunakan oleh pihak berkepentingan untuk habuan lumayan,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diarahkan untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku.

“Saya telah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi dengan memperkukuh program kesedaran dan pencegahan selaras dengan pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP),” katanya.

Mohd Zuki berkata demikian sebagai mengulas reaksi ruangan Cuit Zaini Hassan (Datuk Mohd Zaini Hassan) yang disiarkan dalam portal BebasNews bertajuk “Kartel Projek: Syabas SPRM terus mengganas. KSN pula mengapa membisu.”

Dalam ruangan berkenaan penulis, menyatakan penghargaannya kepada SPRM dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di atas kejayaannya melumpuhkan sindiket kartel projek kerajaan sambil ‘mencuit’ Mohd Zuki tentang apakah usaha yang dilakukan untuk menangani masalah rasuah semakin serius dalam sektor perkhidmatan awam.

Penulis juga menyarankan supaya KSN turut aktif dalam membantu membanteras rasuah berikutan terdapat banyak agensi kerajaan yang dikaitkan dengan gejala berkenaan.

Pada Isnin lalu, SPRM telah menahan tujuh orang termasuk seorang ketua sindiket berusia 47 tahun yang hidup mewah luar biasa hasil memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.6 Billion. Sindiket ini telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang.

Ketua sindiket berkenaan mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender/sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat. Beliau dikatakan mewujudkan 150 buah syarikat yang berbeza dengan menggajikan individu-individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki beliau sendiri.

Hari ini, seorang pegawai kanan agensi kerajaan telah ditahan kerana disyaki membocorkan maklumat kepada sindiket berkenaan.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here