TIDAK PASAL-PASAL– Seorang pengarah syarikat pembekalan elektronik mendapat hadiah ‘hari jadi’ hari ini apabila didakwa di Mahkamah Seksyen di Shah Alam kerana menawarkan rasuah sebanyak RM10,000.

Pengarah berkenaan Ang Boon Chin, 60, mengaku bersalah memberi suapan RM10,000 kepada seorang Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Klang agar tidak mengambil tindakan ke atas syarikatnya, Gallex Enterprise (M) Sdn Bhd, dua minggu lalu.

Boon Chin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rihaida Rafie, lapor Sinar Harian.

Mahkamah, bagaimanapun menetapkan jatuh hukum pada 15 April ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Boon Chin didakwa secara rasuah memberi suapan kepada seorang ejen kerajaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas syarikatnya yang disiasat atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan di Taman Perindustrian Pandamaran di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini pada 23 Mac lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 15 bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Lo Mei Na merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rihaida membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here