Oleh Yusoff Ahmad Shariff

PENGASAS laman berkontroversi Sugarbook mendakwa bahawa antara ahli aplikasi dalam talian itu termasuk individu yang ‘sangat berpengaruh dan berkuasa’.

Beliau bagaimana pun enggan mendedahkan nama-nama terbabit kepada pihak berkuasa.

Portal vice.com melaporkan bahawa Chan Eu Boon, 34 yang lebih dikenali dengan nama Darren Chan turut mengaku juga terdapat golongan selebriti tempatan yang berdaftar sebagai ahli.

Menurut Chan beliau faham kenapa orang ramai mahukan supaya nama-nama ‘ sugar daddy’ tersebut didedahkan, tetapi pihaknya perlu patuh kepada tanggungjawab menjaga data dan isu peribadi secara serius.

Beliau dipetik berkata dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita antarabangsa yang dilaporkan pada Isnin  (5 April) bahawa pihak berkuasa telah meminta nama-nama dan alamat ahli ‘premium’ Sugarbook, tetapi beliau enggan mendedahkan maklumat tersebut.

Chan turut menafikan dakwaan bahawa Sugarbook mempromosikan pelacuran.

Menurut beliau lagi Sugarbook kini sedang menumpukan kepada perluasan ke seberang laut dan sedang mempertimbangkan untuk memasuki pasaran Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Tokyo.

Beliau yang pernah berkata bahawa ‘sugar babies’ dalam laman tersebut turut membabitkan pelajar di 10 universiti dihadapkan ke mahkamah pada 25 Februari lalu.

Chan dituduh menggunakan laman web tersebut untuk menerbitkan satu post bertajuk “10 Universiti Sugar Baby Paling Teratas di Malaysia (“Top 10 Sugar Baby Universities in Malaysia”) dengan tujuan menimbulkan kebimbangan atau keresahan orang ramai pada pukul 10 pagi, 10 Februari lalu.

Tuduhan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here