FOTO: NSTP.

Oleh AKASIA ABDULLAH

SEJAK semalam, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ‘menunjukkan’ rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang dibuat oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam hujahannya, Shafee menyatakan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tidak sepatutnya dipanggil membela diri kerana keputusan yang diberikan hakim bicara itu adalah cacat.

Bagaimanapun katanya, pada ketika itu rayuan terhadap keputusan prima facie itu tidak boleh dibuat kerana ia bukanlah satu keputusan yang muktamad.

Selain itu, Shafee menyatakan, Mohd Nazlan bukanlah seorang hakim yang sesuai untuk mendengar perbicaraan kes itu kerana kurang berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes jenayah.

Menyifatkan kes Najib sebagai `case of the century’ maka hakim yang lebih berpengalaman sepatutnya mendengar perbicaraan itu.

Tambah Shafee dengan hormatnya, Mohd Nazlan kurang pengalaman dalam mengendalikan kes-kes jenayah kerana hanya mengendalikan kes-kes sivil sebelum ini.

Malah kata Shafee, hakim itu kemudian dipindahkan semula ke Mahkamah Sivil selepas membuat keputusan itu. Pertukaran itu yang didakwa sebagai pertukaran biasa telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Ketika ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim mengingatkan Shafee agar tidak tersasar daripada hujah yang telah difailkan.

Hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim terpaksa menegur peguam senior itu agak lebih berhati-hati dalam pemilihan kata-katanya.

Shafee sebelum itu bertalu-talu menyatakan Mohd Nazlan ‘hopelessly incompetent’ sehingga melakukan kesalahan dalam penghakimannya.

Tidak cukup dengan itu, Shafee menyatakan Mohd. Nazlan telah ‘meracun’ penghakimannya dengan memasukkan perkara-perkara yang tidak pernah dinyatakan dalam keputusan di akhir pendakwaan dalam penghakiman akhirnya.

Hakim itu juga didakwa berat sebelah.

Kembali kepada rayuannya, Shafee menyatakan pokok persoalannya ialah siapa yang mengeluarkan wang RM42 juta dari SRC, berpusing-pusing sebelum masuk ke ke dalam akaun Najib.

Katanya, sedangkan ahli lembaga pengarah SRC sendiri tidak mengetahui apa berlaku,pergerakan dana RM4 bilion yang diperolehi daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), bagaimana Najib yang sekadar penasihat emeritus SRC akan mengetahui mengenai wang RM42 juta yang dikatakan sebahagian dari dana KWAP.

Shafee juga mengatakan keterangan menunjukkan RM42 juta telah dikeluarkan daripada akaun SRC tetapi tiada bukti menunjukkan RM42 juta yang didepositkan ke akaun Najib adalah wang yang sama.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here