Najib Tun Razak

PETALING JAYA: Najib Razak mendakwa notis bankrap yang diserahkan kepadanya semalam bertujuan menyingkirkan beliau daripada arena politik dan ia ada kaitan dengan keputusan Umno tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15.

Bekas perdana menteri itu berkata, notis bankrap itu akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan dan membuka laluan kepada pilihan raya kecil.

“Saya tidak lagi layak untuk bertanding dalam pemilihan parti dan pilihan raya,” tulisnya dalam catatan panjang lebar di Facebook.

Najib berkata, beliau juga akan kehilangan semua wang simpanannya yang digunakan untuk menyara hidup dan membayar peguamnya.

Katanya, notis itu juga bermaksud semua barangan dan wangnya untuk perbicaraan rasuahnya tidak akan dikembalikan kepadanya.

Selain keputusan Umno tidak bekerjasama dengan PPBM yang dibuat dalam perhimpunan agung hujung minggu lalu, beliau juga yakin notis bankrap itu ada kaitan dengan tinjauan akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini yang mendedahkan beliau ialah calon pilihan untuk jawatan perdana menteri.

Pun begitu katanya, beliau tidak akan tunduk kepada mereka yang menyalahgunakan kuasa untuk menzaliminya.

“Saya akan terus bersuara demi rakyat Malaysia.”

Semalam, media melaporkan Lembaga Hasil Dalam Negeri memfailkan notis bankrap terhadap Najib kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2017.

Dalam notis yang difailkan 4 Feb lalu itu, Najib juga dikehendaki membayar RM45 juta sebagai faedah pada kadar 5% setahun, atas amaun yang tidak dibayar itu.

Jumlah keseluruhan yang Najib perlu bayar, termasuk kos mahkamah RM15,000 adalah RM1.73 bilion, menurut notis yang dilihat FMT itu.

Najib mempertikaikan taksiran cukai itu dengan berkata, taksiran itu termasuk sumbangan RM2 bilion, yang sebagian besar sudah dikembalikan.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/07/notis-bankrap-untuk-bunuh-kerjaya-politik-saya-kata-najib/

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here