Momen indah sewaktu di Austria membuatkan Haliza menyimpan impian untuk mempunyai butik yang dipenuhi kristal Swarovski.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BAGI pengunjung Crystal World Bawal Exclusive yang terletak di Puchong, pasti terpegun dengan sinaran batu kristal Swarovski yang berjumlah kira-kira 100,000 butir itu.

Bila melangkah masuk ke dalam butik mewah itu, terasa seperti berada di alam fantasi kerana ia merupakan satu pengalaman baharu buat pengunjung.

Bagi pengasas dan pemilik Bawal Exclusive, Haliza Masyuri, beliau bersyukur kerana impiannya untuk memiliki butik tudung mewah akhirnya tercapai setelah sekian lama berurusan dalam perniagaan tudung.

Butik tudung mewah lagi eksklusif yang menelan belanja RM2.5 juta ini bukan sahaja memukau pandangan mata, dalam masa yang sama mempamerkan tudung yang bernilai RM10,000 hingga RM RM113,000.

Haliza mahu kejayaannya menjadi inspirasi kepada orang lain.

Tudung mahal itu dipamerkan selaras dengan aspirasi Bawal Exclusive yang mahu mewujudkan butik tudung paling mewah di dunia bertakhtakan kristal Swarovski.

“Tiada apa yang dapat saya katakan selain bersyukur dengan apa yang dikecapi pada hari ini. Dalam hidup tiada apa yang mustahil dan saya mahu semua orang mempunya azam dan semangat untuk terus berjaya.

“Sebenarnya impian untuk memiliki butik tudung mewah sendiri bermula pada malam ulang tahun Swarovski yang ke-125 tahun apabila saya dijemput ke majlis makan malam yang berprestij di Wattens, Austria, pada 2018,” kata Haliza.

Tambahnya, pancaran kristal Swarovski yang bermula dengan satu butir telah menghasilkan pancaran laser yang menyerlahkan lagi setiap butiran kristal yang berada dalam dewan. Ia merupakan satu kenangan yang tidak boleh dibeli di mana-mana.

“Sejak itu saya menanam impian dan berjanji akan membawa kenangan itu bersama-sama ke Malaysia. Hari demi hari, impian tersebut berjaya direalisasikan pada hari ini (5 April) dengan pelancaran butik tudung mewah bertaraf antarabangsa yang diberi nama Crystal World Bawal Exclusive.

“Butik tudung mewah ini bukan hanya dibina semata-mata untuk dipamerkan pada umum, malah saya ingin membuktikan kepada masyarakat di luar sana bahawa sebagai seorang wanita Muslim yang bermula dari bawah juga mampu untuk berjaya,” tambahnya lagi.

Keluarga tercinta adalah kekuatan Haliza dalam mengurus perniagaan tudung bawal.

Katanya, pembukaan butik tersebut juga membuktikan rakyat Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa. Apa yang perlu dilakukan adalah memulakan langkah dengan semangat yang tinggi serta sentiasa konsisten dengan apa yang dilakukan.

Beliau juga berharap kejayaan yang diraihnya sekarang boleh menjadi inspirasi kepada usahawan yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Haliza mahu pewarisnya dapat meneruskan legasi perniagaan Tudung Bawal Exclusive.

“Saya ingin menunjukkan kepada Premium Reseller Bawal Exclusive bahawa mereka juga mampu untuk menjadi seperti ini,” katanya yang berhasrat menjadikan Crystal World Bawal Exclusive sebagai sebuah butik tudung yang paling mewah di dunia yang bertakhtakan kristal Swarovski.

Istimewanya, setelah 23 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini, kini pemilik Bawal Exclusive turut memperkenalkan pewaris mereka sebagai penyambung kepada legasi perniagaan yang diusahakan.

“Saya berharap pewaris saya dapat menjaga dan menjalankan perniagaan ini dengan sebaiknya,” ujarnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here