Selak Hassan Md NoorSEMAKIN bercelaru. Audio perbualan suara ‘mirip Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim’ yang sedang tersebar (khabarnya mulai malam tadi) menimbulkan persoalan dan keresahan dalam kalangan anggota UMNO.

Mereka tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku. Ke mana hala tuju yang ingin dibawa. Jika itu satu ‘serangan’ ke atas Presiden dan UMNO, siapakah yang bertanggungjawab merangka ‘serangan’ itu.

Kata orang, kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Isunya sama sahaja iaitu ‘sokongan UMNO’ kepada Anwar dan Pakatan Harapan (PH) ketika pimpinan UMNO berulang kali melaungkan slogan ‘No Anwar, No DAP’ dan terkini ‘No Bersatu’.

Tulen atau palsu, kebanyakan orang khususnya anggota UMNO akan keliru dengan ‘perbualan’ Presiden UMNO dan Presiden PKR itu yang antara lain membincangkan perkembangan isu berkaitan peletakan jawatan menteri UMNO dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Jelas kehadiran audio itu menunjukkan ‘kesungguhan’ pelbagai pihak untuk ‘meranapkan’ sekali lagi kerajaan Malaysia dan merosakkan keyakinan terhadap kepemimpinan UMNO yang sedang ‘bergelut’ menyusun strategi menghadapi pilihan raya umum.

Motif audio seumpama itu juga cuba merosakkan keyakinan banyak dan mengingatkan bahawa pengkhianatan terhadap UMNO boleh berlaku dalam kalangan UMNO sendiri.

‘Keakraban’ Anwar dan Zahid semakin terserlah apabila ‘suara mirip Zahid’ berkata kepada ‘Anwar’ : “ You tau siapa cikgu saya kan?” – merujuk kepada reaksi Anwar terhadap apa yang berlaku semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Dan kebetulan ‘keakraban’ sebagai ‘guru dan anak murid’ ini bukanlah satu rahsia. Itu semua orang tahu.

Audio itu semakin menambah kecelaruan. Pelbagai kenyataan pimpinan UMNO sebelum ini lebih memudaratkan dan mendedahkan masalah dalaman. Malahan ada dakwaan mengatakan UMNO sekarang di bawah pengaruh orang lain.

Sekali lagi sama ada tulen atau palsu, audio berkaitan ‘menambah siri sokongan’ terhadap Anwar atau PH. Khabarnya bulan lalu juga tersebar audio suara mirip pemimpin UMNO itu dipercayai sedang memberi taklimat kepada pemimpin parti tentang kerjasama bersama musuh politiknya.

Sebelum itu, berkaitan kerjasama UMNO @ BN dan PH juga menimbulkan kontroversi apabila satu kenyataan Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN hampir sama dan didakwa bersifat copy and paste (salin dan tampal) kenyataan media Anwar.

Ia berkaitan desakan mengadakan sidang Parlimen ketika pengisytiharan darurat apabila kedua-dua kenyataan itu menyentuh mengenai keberkesanan membendung pandemik Covid-19, pelaksanaan Bajet 2021 dan pemulihan ekonomi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berlangsung.

Apa pun status audio itu, tulen atau palsu, sedikit sebanyak boleh mencalarkan imej parti mengenai hala tuju sebenar menjelang PRU. Apatah lagi pakej audio yang tular itu turut memasukkan ucapan Ahmad Zahid yang tersasul menyebut No UMNO.

“Kita tetap bersama dengan keputusan Majlis Tertinggi. No DAP, No UMNO , No Anwar …No DAP, No Anwar, No Bersatu’.

Kita tunggu reaksi Ahmad Zahid, Anwar dan pimpinan UMNO yang lain. Tulen atau palsu, isu ini perlu dilayan secara jujur dan telus, bukan sekadar mengia atau menafikan. Huraikan kenapa ia berlaku.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here