Oleh Fetty Rara

PARA pegawai Arab Saudi telah tampil menafikan sekeras-kerasnya bahawa negara itu berperanan dalam dakwaan cubaan rampasan kuasa di Jordan.

Pada Sabtu lalu, Putera Hamzah bin Hussein ditangkap dan diletakkan bawah perintah tahanan rumah bersabit tuduhan mengancam keselamatan negara.

Tindakan itu diambil selepas beliau menghadiri satu perjumpaan bersama beberapa pemimpin suku kaum Arab Jordan yang secara terbuka telah mengkritik Raja Abdullah.

Putera Hamzah kemudian mengeluarkan dua klip rakaman video dalam mana beliau berkata kerajaan Jordan korup, tidak cekap dan rakyat tidak berani bersuara kerana takut akan tindakan pihak berkuasa, lapor bbc.com.

Sejak itu krisis tersebut nampaknya telah reda susulan campur tangan bapa saudara Raja Abdullah, tetapi kini tersebar pula spekulasi bahawa Arab Saudi memainkan peranan dalam kemelut berkenaan.

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan bersama delegasinya dilaporkan telah berkunjung ke ibu negara Jordan, Amman bagi menyatakan solidariti penuh terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Raja Abdullah.

Putera Faisal berkata hanya itu pendirian Arab Saudi dan sebarang dakwaan kononnya negara itu memainkan peranan dalam cubaan untuk mencetuskan kestabilan kerajaan Jordan adalah ‘karut semata-mata’.

Pada waktu krisis tersebut memuncak beberapa pegawai Jordan berkata mereka telah mengintip kegiatan Putera Hamzah sejak beberapa lama sebelum itu dan mendapati bahawa sememangnya ada komplot untuk mencetuskan ketidakstabilan negara.

Krisis ini menonjolkan dua isu berasingan, iaitu pendirian Putera Hamzah yang tidak disenangi oleh  kepimpinan tertinggi keselamatan Jordan dan peranan sebenar beberapa pegawai tinggi kerajaan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya sebuah negara serantau.

Antara mereka ialah Bassem Awadallah yang merupakan individu utama di Istana Raja Abdullah dan kini penasihat kepada Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman.

Beliau yang memegang kerakyatan Arab Saudi dan Jordan pernah menjadi moderator pada beberapa forum Inisiatif pelaburan Masa Depan Arab Saudi.

Akhbar The Washington Post melaporkan bahawa delegasi menteri luar Arab Saudi enggan meninggalkan Jordan tanpa membawa bersama Bassem Awadallah kembali ke Riyadh. Ini, bagaimana pun, dinafikan oleh pihak Arab Saudi.

Bassem Awadallah mempunyai beberapa hubungan antarabangsa yang kuat. Selain begitu rapat dengan Putera Mahkota Arab Saudi, beliau juga mempunyai hubungan dengan pemerintah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Putera Mahkota Mohammed bin Zayed. Terbaharu beliau dilaporkan terbabit dalam beberapa pembelian tanah milik Palestin di sekitar Baitulmuqaddis bagi pihak UAE.

Walaupun amat berbeza dari segi ekonomi, namun Arab Saudi dan Jordan mempunyai hubungan sejarah sejak berkurun, dan oleh sebab keluarga di raja kedua-dua negara itu kini satu-satunya berketurunan Sunni di dunia Arab maka tidak hairan jika kedua-duanya saling menyokong antara satu sama lain.

Oleh yang demikian kebanyakan penganalisis politik Timur Tengah berasa amat payah melihat logik jika Arab Saudi atau Israel mencetuskan kestabilan di Jordan. Mereka berkata sejak pemerintahan Raja Hussein dan sekarang anaknya, Raja Abdullah Dinasti Hashim terus kekal tanpa digoncang oleh politik Timur Tengah.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here