Reezal Merican Naina Merican mrlancarkan VSN 2030 secara maya di Putrajaya.
Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini tampil dengan inisiatif baharu – Visi Sukan Negara (VSN) 2030 bagi memastikan hala tuju dan perancangan pembangunan sukan negara dipetakan dengan lebih komprehensif, bersepadu dan kolektif bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, VSN 2030 dijangka dapat memberikan nafas baharu kepada arena sukan negara dengan mengguna pakai konsep ‘daripada komuniti kepada komuniti’ supaya rakyat sendiri, tanpa mengira latar belakang merencanakan strategi sukan negara untuk 10 tahun ke hadapan.

“Sudah tiba masanya untuk kita melakarkan aspirasi dan harapan melalui Kanvas VSN2030. Dekad emas sukan negara semakin hampir. Visi ini visi kita.

“Visi itu yang mahu meneruskan legasi sukan sebagai alat perpaduan yang ampuh dalam masyarakat serta melahirkan jaguh-jaguh berkelas dunia, merupakan kesinambungan daripada Dasar Sukan Negara 2009 (DSN2009),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kanvas VSN 2030 secara maya yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi KBS, www.facebook.com/myKBSMalaysia di sini hari ini.

Reezal Merican Naina Merican

Dalam pada itu, beliau berharap VSN 2030 diisi dengan aspirasi dan harapan seluruh rakyat, memandangkan VSN 2030 akan menjadi dokumen dan teks rasmi kerajaan yang dinamik dalam pembangunan sukan tanah air.

Tambah beliau, ia tidak boleh bersifat ‘stagnant’ dan ‘top-down’ semata-mata.
“Masa yang hanya kerajaan (sahaja) ‘tahu’ tentang semua perkara telah berlalu. Saya mengimpikan sebuah dokumen dasar yang sentiasa diteliti dan dihayati oleh rakyat,” ujarnya.

Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya penggiat sukan untuk terlibat dalam memberikan pandangan dan cetusan idea dalam VSN 2030, memandangkan ia bakal menentukan hala tuju sukan negara bagi tempoh sedekad lagi.

KBS juga mengenal pasti beberapa komponen utama yang digariskan sebagai panduan kepada rakyat merangka dokumen dasar yang terlibat bagi hala tuju baharu tersebut.

Ini termasuk pemerkasaan pembudayaan sukan dalam masyarakat, kecemerlangan sukan, pengenalpastian dan pembangunan bakat, menjadikan Malaysia sebagai hab sukan antarabangsa, pemerkasaan industri sukan serta inklusiviti dan profesionalisme dalam pentadbiran sukan.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here