SEJAK saya menulis kolum Cuit ini bertajuk Revolusi dalam UMNO tidak dapat dielakkan… (https://bebasnews.my/?p=43912) pada 24/9/2020 — enam bulan lalu, mesej yang sama berlaku lagi pada hari ini.

Zahid Hamidi, Presiden UMNO masih terus bermain silap mata. Ramai yang bertanya-tanya siapa yang mahu diselamatkan, Zahid atau UMNO?

Cukup sedih kita melihat para perwakilan berbaju merah menyala yang hadir pada perhimpunan agung parti itu baru-baru ini — terus menerus terangguk-angguk kepala dan bertepuk tangan, tanpa rasa apa-apa.

Persoalannya adakah perhimpunan itu benar-benar diadakan untuk tujuan “taktikal” bagi menyelamatkan Zahid semata-mata?

Jadi adakah jeritan “No Anwar” itu adalah taktikal dan hanya palsu?

Sebagai pemerhati politik tiga abad saya melihat drama dan seloka ini dengan cukup teruja. Orang-orang yang berada dalam parti itu masih tidak sedar diri.

Para pemimpin UMNO yang berada di atas masih dalam awang-awangan. Masih mimpi. Masih mendapat jawatan dalam GLC. Dan masih mahu mendabik dada mengaku mereka adalah Abang Long, Tuan Besar dan tidak kurang daripada itu.

Sama ada insiden audio itu betul atau tidak, ia bukan menjadi persoalan. Nafilah selagi ada bulan dan bintang. Rakyat jelata sudah mangli dan lali dengan permainan itu.

Dua ratus dua puluh dua (222) orang ahli Parlimen ketawa berdekah-dekah mendengar perbualan telefon itu. Ia bukan perkara ganjil. Saya cukup arif mengenainya. Lebih melucukan apabila dua pelakon itu beria-ia berkata “itu adalah fitnah dan mereka akan membuat laporan polis”.

Rakyat marhain mempersendakan permainan dua pelakon itu. Sejak tiga dekad lalu, itulah drama mereka. Tiada membawa pengajaran langsung.

Beberapa orang ahli MT UMNO memberitahu saya “cukuplah”. Mereka cukup faham sesuatu yang drastik perlu dilakukan dari dalam parti itu.

Malu kita dengan dengan rakyat, dengan orang kampung, dengan peneroka, dengan nelayan. Mereka bukan bodoh, kata salah seorang ahli MT.

Nampak sangat mereka hanya mementingkan diri sendiri. Mereka sudah tidak peduli apa akan jadi kepada parti tua Melayu itu.

Mana yang lebih penting Zahid atau UMNO? Mana yang perlu dinyahkan Zahid atau UMNO, kata seorang sahabat dalam laman sosial.

Ku Li, orang lama dalam UMNO sudah pun bersuara. Katanya: “Kalau benar itu suara dia, kalau benar dia mempunyai niat macam itu. Sebagaimana suara dia sememangnya dia tidak bertanggungjawab, tidak layak kekal di situ.”

Nazri Aziz, veteran UMNO yang dilihat seorang tokoh yang celupar dan pernah menyokong secara terbuka Zahid juga mendesak Presiden UMNO itu meletak jawatan.

Tak perlulah saya menulis panjang lebar. Sudah terang, lagi bersuluh. Kita sudah tahu siapa “cikgu” sebenar Zahid.

Jika di zaman Presiden UMNO Tun Mahathir dahulu, MT digunakan untuk menggugurkan timbalannya, sekarang kita mahu melihat apakah MT (cukup berani) untuk bertindak sekali lagi?

Revolusi dalam UMNO tidak boleh dielakkan lagi…

— BebasNews

Please follow and like us:

2 COMMENTS

  1. Revolusi dalam Umno bukan hanya coup jawatan, ia juga memerlukan revolusi mental. Pemimpin dan ahli Umno juga harus mempunyai anjakan paradigma.
    Umno is no longer the master, it is more like the beggar, hoping for the rakyat’s support once again. Gone are its glory days.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here