Sulaiman Ali (lima dari kanan) meneliti model pembangunan M-WEZ. Foto- Melaka Hari Ini
Oleh Wartawan BebasNews

KUALA LUMPUR – Melaka hari ini secara rasminya melancarkan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), satu-satunya koridor pertumbuhan ekonomi di kawasan persisir laut di negara ini dalam usaha mengembalikan kegemilangannya sebagai pusat perdagangan utama di rantau ini.

Projek ekonomi berimpak tinggi yang diilhamkan oleh Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bertujuan mewujudkan pembangunan mampan dan berdaya maju serta menarik pelaburan berkaitan revolusi industri 4.0 yang disokong oleh teknologi hijau.

Dalam ucapannya di hadapan kira-kira 500 jemputan di sebuah hotel tempatan di sini, Sulaiman berkata, koridor itu melibatkan kawasan seluas 10,117 hektar (25,000 ekar) tanah pesisir laut dan ditambak dengan jarak 33 kilometer dari utara Melaka berhampiran Sungai Udang hingga ke Selatan di Umbai.

Beliau berkata, berbanding dengan negeri-negeri lain, Melaka yang sebelum ini banyak bergantung kepada sektor pelancongan sebagai punca pendapatan, merupakan satu-satunya negeri tanpa koridor dan kewujudan koridor ini akan memesatkan lagi pertumbuhan ekonominya.

M-WEZ merupakan usaha negeri itu untuk kembali bangkit dengan mempunyai perancangan yang lebih teratur berbanding sebelumnya dan meningkat sumber kewangan bernilai tinggi serta mampan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

Koridor ini akan menjadi medium pertumbuhan baharu dan pemboleh ekonomi utama yang akan mewujudkan pekerjaan baharu, lebih banyak peluang perniagaan serta meningkatkan tahap pendapatan rakyat dan Keluaran Dalam Negara Kasar negeri sebanyak 5 peratus setahun.

Lima buah zon utama M-WEZ, Melaka Habourfront, Smart Logistic Nucleus, Digital Sattellite Township, Central Eco Busoness Park dan Trade Nucleus New Township yang mana kelima-lima zon mempunyai komponen tersendiri dengan fungsi saling berkait. Kesemua ini akan ditempat di kawasan seluas 4,931 hektar iaitu sama luasnya dengan Putrajaya.

Pada majlis pelancaran itu juga turut berlangsung majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Telekom Malaysia Bhd, Malaysian Communications and Multimedia Commission dan Leaptex Engineering Sdn Bhd. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here