PUTRAJAYA – Bak kata orang, sekilas ikan di air, sudah kenal jantan atau betina.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, sebagai seorang yang amat dekat dan rapat dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid, beliau boleh mengesahkan siapa yang bercakap dalam rakaman suara yang ditular sejak Rabu lalu.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, bukannya rumit untuk mengetahuinya.

“Saya cuba mendengarnya 10 kali malam tadi, saya rasa boleh cam suara itu dan yakin 100 peratus ia tulen,” kata beliau pada sidang akhbar pelancaran Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di sini hari ini (Khamis- 8 Mac).

Annuar berkata demikian ketika mengulas tentang rakaman dua individu yang dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar yang menunjukkan wujudnya perancangan antara UNMO dan PKR untuk menjatuhkan kerajaan semasa.

Menteri itu mendakwa, sememangnya wujud hubungan kerjasama politik antara UMNO dan PKR termasuklah surat sokongan kepada Anwar yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid, namun dinafikan.

“Kemudian kenyataan media mengenai tuntutan mengadakan sidang Parlimen.
“Copy paste” (surat) juga membuktikan ada muafakat di belakang tabir.

“Sekarang keluar pula rakaman audio,” kata Annuar lapor Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini juga mengesahkan bahawa rakaman suara perbualan antara Ahmad Zahid dan Anwar adalah tulen.

“Saya telah mendengarnya (rakaman suara) dan selepas menyertai PKR selama 20 tahun, saya percaya memanglah suara Anwar,” kata Zuraida yang juga bekas naib presiden PKR, selepas menghadiri satu acara di Ampang, Selangor, lapor FMT.

Rakaman audio tersebut mempunyai perbualan telefon mirip suara Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada perhimpunan Agung UMNO 2020.

Ahmad Zahid dan Anwar, bagaimanapun menyangkal audio rakaman berkenaan adalah suara mereka dan memaklum akan membuat laporan polis.– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here