Datuk Yahya Ahmad

JOHOR BAHRU – Negeri ini membenarkan pelaksanaan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, solat tarawih tersebut mengutamakan jemaah lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dengan 20 rakaat diikuti solat sunat witir tiga rakaat.

Beliau berkata, imam yang bertugas juga hanya diminta membaca surah lazim pada setiap rakaat selepas bacaan surah Al-Fatihah.

“Kebenaran ini berkuat kuasa sepanjang tempoh Ramadan bermula 13 April ini hingga ada ketetapan lain ditentukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sepanjang tempoh PKPB, program tadarus al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam selepas selesai solat witir atau waktu yang diprogramkan oleh pihak masjid mahupun surau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, majlis khatam al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam tiga puluh minit, manakala program kuliah dan ceramah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam.

Namun, beliau menegaskan bahawa kuliah sebelum atau selepas solat tarawih adalah tidak dibenarkan.

Yahya berkata, majlis berbuka puasa, sahur dan moreh di dalam masjid mahupun surau turut dibenarkan di kawasan khusus dengan juadah hendaklah dibungkus, namun tidak dibenarkan secara bufet atau layan diri.

“Bagi majlis tertentu seperti jamuan berhidang, dibenarkan untuk bilangan 50 jemaah sahaja di ruang yang ditetapkan.

“Kegiatan memasak di dalam kawasan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan, namun program agihan bubur lambuk di dalam kawasan masjid dan surau dibenarkan.

“Majlis qiamullail di masjid mahupun surau juga dibenarkan untuk tempoh dua jam sebelum masuk waktu subuh, namun jemaah tidak dibenarkan tidur bermalam di dalam premis itu,” katanya. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here