Selepas tertangguh lama, kini Syafinaz tampil dengan single Persis Salju.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SETIAP penyanyi pasti damba untuk merakam lagu mengikut jadual yang ditetapkan sebagai prolifik karya mereka dalam industri seni.

Namun ada masanya apa yang dirancang tidak menjadi dan itu tidak bermakna penyanyi tersebut terus mengundurkan diri daripada karier seni.

Bagi Datuk Syafinaz Selamat secara peribadi mengakui yang beliau sedikit malu apabila sering berjanji akan tampil dengan single baharu tapi hasratnya itu tidak kesampaian.

Syafinaz bukan sengaja melengahkan penerbitan single baharu tapi semua itu berlaku kerana kesibukan dan komitmennya sebagai guru vokal, juri program dan pensyarah beberapa institusi pengajian tinggi.

Persis Salju adalah lagu penggubat rindu untuk peminat yang sudah lama menunggu single baharu Syafinaz.

Menariknya, single terbaharu berjudul Persis Salju ciptaan KuSham dan lirik oleh Zaira sudah dirakamkan sejak 10 tahun lalu, namun hanya dilancarkan pada 5 April lalu.

“Pejam celik tanpa sedar, single Persis Salju sudah 10 tahun terperap. Ikut perancangan, saya mahu mengeluarkan single Persis Salju, tahun lalu.

“Namun, kita diuji pula dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, saya harus menunggu masa yang sesuai untuk melancarkannya.

“Jika boleh, saya mahukan masa terbaik dan bersesuaian, apatah lagi, saya tak keluar single baharu selama 20 tahun. Biarlah promosinya boleh diadakan secara menyeluruh,” katanya tentang single bergenre balada yang memuatkan elemen klasik dalam muzik.

Tatkala ditanya soal perasaannya, penyanyi bervokal Soprano itu berkata, perasaannya kini bercampur baur, seram dan teruja kerana sudah lama tiada single baharu.

“Saya seram memikirkan cabaran dalam dunia muzik hari ini. Saya lihat cara dahulu dan sekarang amat berbeza, saya terpaksa ikut trend muzik sekarang.

Selain menyanyi, tugas Syafinaz adalah sebagai guru vokal dan pensyarah.

“Perasaan teruja pula tentulah tidak mampu di selindung. Saya sudah lama tidak berdiri di atas pentas menyanyikan lagu baharu.

“Saya akui, kadang kala rasa malu apabila kerap berjanji tahun demi tahun. Single Persis Salju umpama membayar janji saya pada peminat yang sudah lama menantikan kemunculan lagu baharu saya,” katanya yang sebelum ini popular dengan lagu Ingin Bersamamu.

Kali terakhir, wanita kelahiran Pontian, Johor itu muncul dengan single berjudul Syyh… sempena album tribute Datuk Ahmad Nawab pada 2001.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here