Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan ada lagi kelompok pegawai dan kakitangan kerajaan dalam radar SPRM.

Dalam temu bual bersama program Trio On Point NTV7 Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata, SPRM sentiasa memfokuskan kes-kes yang membabitkan ketirisan sama ada ia merugikan negara atau memudaratkan rakyat termasuk keselamatan atau sosio budaya.

SPRM juga sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar keluh kesah rakyat berkaitan rasuah dan penangkapan baru-baru ini membuktikan SPRM juga menganalisis aduan dan maklumat orang ramai.

“Contohnya dalam kes tender kerajaan, ada ahli perniagaan dan kontraktor yang mengadu kerana gagal mendapat sesuatu tender walaupun mudah (keperluan syarat dipenuhi) dan wujudnya kumpulan tertentu menguasai tender tersebut. Sindiket ini seolah-olah merompak hak mereka yang sepatutnya layak mendapat tender.

“Dalam kes tersebut, kami mengambil masa hampir empat bulan menganalisis maklumat, risikan dan melengkapkan siasatan hingga berjaya membuat tangkapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mempersoal tidak mungkin ketua jabatan kerajaan tidak menyedari terdapat sebilangan kakitangan mereka telah mengambil rasuah daripada kartel yang memonopoli tender kerajaan.

“Kebanyakan ketua jabatan tak mengendahkan salah laku, masalah etika kakitangan dan cenderung untuk menutup mata terhadap kesalahan kakitangan bagi melindungi reputasi jabatan mereka.

“Saya rasa mungkin ada kekurangan pemantauan dalam operasi. Ketua jabatan dan penyelia sebenarnya harus memantau kakitangannya,” katanya.

Awal minggu ini, SPRM menahan tujuh orang dalam sindiket yang dilaporkan menguasai lebih 150 syarikat yang memonopoli projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion. Tujuh yang ditangkap, termasuk ketua sindiket berusia 47 tahun.

Sementara itu, SPRM turut menahan menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki terbabit sindiket kartel tender projek yang ditumpaskan. –BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here