Transparency International Malaysia

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipuji atas kejayaan melumpuhkan kartel monopoli tender kerajaan yang didakwa diketuai oleh “Datuk” yang kaya dan berkuasa.

Kumpulan anti-rasuah Transparency International Malaysia (TI-M) menyifatkan kartel berkenaan sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat dan sesuatu yang memalukan buat sektor perkhidmatan awam, dan sindiket seperti itu paling teruk menjejaskan kontraktor Bumiputera.

“Warga Bumiputera adalah yang paling rugi kerana syarikat Bumiputera lain yang jujur terlepas kontrak ini, walaupun selama bertahun-tahun usaha kerajaan untuk menaikkan taraf peniaga Bumiputera melalui pelbagai dasar dan tindakan afirmatif yang dirancang dengan baik,” kata Presiden TI-M Muhammad Mohan dalam kenyataan.

Beliau berkata, rasuah masih terus berleluasa dalam perkhidmatan awam, seperti yang dilihat melalui laporan terbaru mengenai skandal rasuah lain melibatkan agensi penguatkuasaan undang-undang, termasuk Jabatan Imigresen dan polis.

Ini menyebabkan rakyat semakin tidak yakin dengan institusi dan agensi kerajaan, kata Muhammad, memetik sebuah tinjauan tahun lalu yang menyatakan 71% rakyat percaya kerajaan berdepan isu rasuah yang besar.

Awal minggu ini, SPRM menahan tujuh individu dipercayai terlibat dengan sindiket yang dilaporkan menguasai lebih daripada 150 syarikat, memonopoli projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion.

Tujuh yang ditahan termasuk ketua sindiket berusia 47 tahun.

Syarikat terbabit digunakan untuk mengemukakan tender di kementerian dan agensi.

Kartel yang beroperasi sejak 2014 itu dipercayai berjaya memperoleh 345 tender bernilai RM3.8 bilion.

SPRM mendapati ketua sindiket yang bergelar “Datuk” itu memiliki dua helikopter, sebuah kapal layar, serta kereta mewah dan hartanah bernilai lebih RM41 juta.

SPRM turut menemui wang tunai RM3.5 juta di rumahnya.

Seorang pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan juga antara yang ditahan.

Juruukur bahan berusia 38 tahun itu, seorang penjawat awam gred 48, dikatakan menerima suapan daripada kartel sebagai balasan bagi maklumat mengenai projek.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/08/kartel-tender-khianat-rakyat-bumiputera-paling-teruk-terjejas-kata-kumpulan/

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here