Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

BEKAS penyerang lampai bola sepak Pahang dan Malaysia era 70-an hingga 80-an, Allahyarham Rosmaini Mohd. Shah telah kembali ke rahmatullah pada usia 67 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.15 petang di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang akibat jangkitan kuman dalam darahnya.

Bekas rakan sepasukannya, Nazeri Hussain berkata, “Allahyarham meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia dalam lingkungan 20-an.

“Bersama Pahang, dia beraksi dari 1976 hingga 1983 manakala dengan skuad kebangsaan dari 1980 hingga 1982,” katanya ketika dihubungi BebasNews, hari ini.

Allahyarham juga menganggotai skuad juara Piala Malaysia 1983 yang menewaskan Selangor 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 9 Mei 1983.

DARI kiri di kem latihan pusat Kelayakan Piala Dunia 1981, Hassan Sani, Ibrahim Din, Rosmaini Mohd. Shah dan Mokhtar Dahari. – Foto Dunia Sukan Utusan.

Rosmaini, anak jati Kuantan yang dilahirkan pada 3 Februari 1954, kata Nazeri, juga membantu Pahang menjulang Piala Emas Raja-raja pada 1980 selepas menewaskan Perak 4-2.

Beliau yang berketinggian 1.80 meter, turut pernah dipanggil ketua jurulatih, mendiang Karl Heinz Weigang dari Jerman Barat untuk mengikuti kem latihan pusat skuad negara ke Kelayakan Piala Dunia di Kuwait pada 1981.

Namun persaingan sengit dengan bintang-bintang tanah air seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani, menyukarkannya mendapat tempat ke sana.

Dalam skuad Pahang 1983 bimbingan mendiang Frank Lord dari England, Chud (julukannya) seangkatan dengan Datuk Jamal Nasir Ismail, Allahyarham Hanis Devandran Abdullah, Sanusi Daud, Tajuddin Nor, Noordin Mohamad, Abdullah Din, Datuk Abdah Alif dan adiknya, Yunus Alif.

Lain-lain termasuk penjaring gol perlawanan akhir itu, Hamidon Abdullah, Zainal Abidin Hassan dan Pathmanathan Thambiah serta rakan importnya dari Singapura, Suriamurthi Rajagopal.

“Allahyarham juga pernah menjadi penolong jurulatih Pahang sekitar 1990-an,” kata Nazeri.

Selain karier bola sepak, Rosmaini katanya bertugas di Jabatan Kerja Raya, Pahang sebelum berpindah ke Jabatan Bekalan Air Pahang seterusnya bersara apabila berusia kira-kira empat tahun lalu.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Jalan Haji Ahmad, Kuantan selepas solat isyak dan jenazah di Masjid Kampung Bukit Sekilau.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here