KUALA LUMPUR – Syarikat induk Celcom, Axiata Group Bhd hari ini, mengesahkan cadangan penggabungan dua syarikat telekomunikasi, Celcom dan Digi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan itu, Datuk Izzaddin Idris dalam satu sidang media, berkata gabungan tersebut akan dinamakan Celcom Digi Bhd.

Katanya, penggabungan itu bagi mempercepatkan proses digitalisasi sejajar dengan aspirasi negara untuk mentransformasikan Malaysia menjadi masyarakat digital.

“Ia akan menghasilkan sinergi yang hebat dengan entiti penggabungan ini, juga dapat menarik minat global dan mewujudkan perkongsian global.

“Selain itu, kedua-dua Axiata dan Telenor juga ingin mengumumkan pusat inovasi berkelas dunia di Malaysia.

“Pusat inovasi ini, menerusi gabungan ini, akan dapat menarik ekosistem Axiata dan Telenor sekali gus memanfaatkan kedua-dua syarikat,” katanya.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Telenor Asia, Jorgen Rostrup.

Izzaddin dilantik sebagai Pengerusi Celcom Digi Berhad, manakala Rostrup sebagai timbalannya. CEO Celcom Axiata, Idham Nawawi pula dilantik sebagai CEO Celcom Digi Berhad dan CEO Digi, Albert Murty (Timbalan CEO Celcom Digi Berhad).

Mengulas lanjut, Izzaddin berkata Telenor dan Axiata masing-masing akan akan memegang 33.1 peratus saham dalam Celcom Digi Berhad.

Dalam perkembangan sama, Izzaddin berkata pihaknya akan melindungi pekerja mereka dan tidak akan berlaku pemecatan secara paksaan.

“Kami akan melindungi kesejahteraan pekerja dan kami akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi menerusi pusat inovasi kami.

“Kami juga akan mengadakan program sokongan peralihan sekiranya terdapat keperluan untuk melatih semula pekerja dalam entiti gabungan ini,” katanya,

Dengan gabungan ini, Celcom Digi Berhad akan kekal disenarai awam di Bursa Malaysia dan bakal menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar Malaysia.

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/sah-celcom-digi-bakal-bergabung-292326

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here