Oleh Yusoff Ahmad Shariff

FACEBOOK, Instagram dan Whatsapp mengalami gangguan perkhidmatan pagi tadi (9 April) di serata dunia.

Gangguan perkhidmatan selama lebih kurang satu jam itu telah menyebabkan komunikasi antara sebahagian besar pengguna tergendala, lapor forbes.com.

Kejadian pada kira-kira pukul 5.15 EDT (5.15 pagi waktu Malaysia) itu mencetuskan ratusan ribu mesej kesilapan akses di ketiga-tiga platform media sosial tersebut.

Aplikasi dalam talian Facebook ‘developer dashboard’ menunjukkan laporan kesilapan akses pada kira-kira pukul 6.00 pagi sebelum kembali ke paras normal pada pukul 7.00 pagi.

Sepanjang waktu gangguan itu pengguna menerima mesej kesilapan akses, walaupun bagi segelintir pengguna ia masih digunakan.

Facebook masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut.

Kejadian kali ini merupakan yang kedua dalam masa tiga minggu. Bulan lalu pengguna aplikasi Messenger Facebook, Instagram dan Whatsapp tidak dapat mengakses akaun mereka selama satu jam berikutan apa yang disifatkan oleh syarikat itu sebagai hanya ‘isu teknikal’.

Kesemua kesilapan akses itu dianggap perkara kecil dan singkat, walaupun Facebook pernah mengalami gangguan perkhidmatan serius selama 12 jam dua tahun lalu.

Masalah sebegini pernah juga dialami oleh Gmail dan Youtube pada Disember lalu hingga menjejaskan penggunaan di serata dunia.

Pada November lalu pula masalah teknikal membabitkan Amazon Web Services menyebabkan ribuan laman web berasaskan ‘cloud’ terpaksa ditutup sementara kerana gangguan yang sama.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here