Oleh Ahmad Abd Hamid

BERUNDUR atau terus bertahan? Inilah dilema getir dihadapi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berikutan desakan yang kian menggunung agar beliau berundur demi kepentingan parti.

Suara-suara yang mahu beliau berundur sudah lama kedengaran daripada pemimpin,  ketua bahagian dan pergerakan pemuda UMNO serta Puteri UMNO. Mereka mahu beliau melepaskan jawatan dan menumpukan kepada kes mahkamahnya.

Selaras dengan itu, mereka mahu pemilihan pucuk pimpinan parti diadakan seperti dijadualkan pada tahun ini tanpa sebarang penangguhan. Pemilihan kali ini sepatutnya diadakan pada Jun. Mereka tidak mahu penangguhan seperti pemilihan 2018.

Desakan agar Zahid berundur semakin memuncak dengan tularnya audio yang dikatakan perbualannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada pemimpin UMNO yakin suara dalam perbualan tersebut milik beliau dan Anwar walau pun Zahid dan Anwar menafikan dan akan membuat laporan polis.

Pendedahan video ini menyebabkan beberapa pemimpin UMNO menyifatkan Zahid sudah tidak layak memimpin parti itu. Mereka menekankan bahawa kedudukan Zahid kini semakin goyah. Sebelum ini ada pemimpin yang menyifatkan Zahid sebagai tidak memiliki ciri kepimpinan dan tiada ‘command’ menyebabkan beliau tidak dihormati.

Mereka memberi contoh, sekalipun Perhimpunan Agung (PAU) IMNO pada 27 dan 28 Mac lalu memutuskan ikatan dengan Bersatu dirungkai, menteri-menteri UMNO tetap terus dalam kabinet Perikatan Nasional (PN) yang sama-sama mereka bentuk sebelumnya.

Namun ketika ini nampaknya Zahid belum menampakkan tanda-tanda mahu berundur. Beliau masih berusaha  menyerap  tekanan yang kian memuncak.  Tidak dinafikan, di sebalik yang melawan arus dan tidak sealiran dengannya,  masih ada yang bersama beliau.

Bagi Zahid mungkin ini adalah sumber kekuatan untuk terus bertahan. Cuma soalnya mampukah mereka bertahan dan  melawan gelombang arus yang kian ganas membadai mahukan kepimpinan baharu?

Dapatkah mereka mengekang asakan yang mahu pemilihan parti diadakan segera? Desakan yang mahu kepimpinan ditukar demi survival parti yang kini berada dalam kemelut, seperti diakui sendiri oleh pemimpin UMNO.

Dapatkah dikekang kemahuan agar  UMNO dipimpin barisan baharu dalam menghadapiPilihan Raya Umum (PRU) ke-15?

Juga desakan yang mahu kepimpinan baharu membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama dengan parti lain, khususnya Bersatu.

Jika Zahid enggan akur dengan desakan berundur pada waktu ini, pemilihan pucuk pimpinan parti dianggap sebagai medan terbaik untuk menentukan kedudukannya. Kerana itulah pihak tertentu mahu pemilihan diadakan menurut jadual. Biarkan ahli membuat keputusan siapa yang mereka mahu untuk memimpin.

Zahid boleh sahaja bertanding mempertahankan jawatan untuk menguji kekuatan dan penerimaan terhadapnya. Namun dalam keadaannya sekarang, beliau seharusnya bijak mencongak nasibnya jika bertanding.

UMNO harus mengakui parti kini dalam  kemelut dengan suara-suara tidak sehaluan kian lantang. Zahid sendiri pastinya menyedari hakikat ini. Jika kemelut dibiarkan, ditakuti akan menyebabkan jurang perbezaan semakin luas,  risiko berpuak-puak semakin mendalam. Ini boleh menjurus kepada ketidakstabilan, atau lebih parah perpecahan.

Pemilihan parti mungkin tidak menjamin solidariti terbentuk serta merta. Namun sekurang-kurangnya ia mampu meredakan ketegangan yang wujud. Lama kelamaan ia mungkin berupaya mengembalikan kekuatan parti jika semuanya beriltizam ke arah itu.

Lalu apa pilihan UMNO sekarang? Apa pilihan Zahid?

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here