SABIAMAD ABDUL AHAD
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

BEKAS pemenang tiga pingat emas Sukan SEA, Allahyarham Datuk Sabiamad Abdul Ahad meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi (Sabtu) akibat serangan jantung di Hospital Serdang, Selangor.

Allahyarham yang turut pernah beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 1984 selain menjadi pembawa bendera Malaysia dalam temasya ke-23 itu, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 65 tahun.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, “selain aktif membantu sukan menembak sebagai jurulatih dan pengurus pasukan, Allahyarham pernah menganggotai Lembaga yayasan.

“Kita telah kehilangan seorang lagi wira sukan negara yang disegani ramai. Arwah banyak menyumbang bakti kepada Yakeb dari belakang tabir malah kepada bekas-bekas atlet,” katanya.

Sabiamad mengukir kejayaan terbesar dalam karier sukannya dengan membawa pulang tiga pingat emas daripada tiga Sukan SEA berturut-turut dari Singapura 1983, Bangkok 1985 dan Jakarta 1987 sehingga ada pihak yang memberikan julukan ‘The Sharpshooter’ (Pembidik Tepat).

Dia bermula dengan menaiki podium emas acara air pistol match individu setelah mengumpul 571 mata di Singapura dan mempertahankannya juga dengan mata sama di Bangkok dan menjuarai centre fire pistol 25 meter individu (585 mata) di Jakarta.

Olimpik Los Angeles pula menyaksikan pencapaian tempat ke-35 buat bekas pengawal peribadi Sultan Kelantan, Almarhum Sultan Ismail Petra ini selepas ‘bertarung peluru’ dengan 56 penembak dalam acara 50 meter pistol 60 das.

Karier tetapnya ialah usahawan dan sempat menjadi pengurus pasukan menembak negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Beliau dianugerahkan bintang kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2011.

“Saya dimaklumkan anaknya bahawa jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor selepas solat jenazah di Surau Mujahiddin, Taman Desa Surada, Kajang kira-kira 8 pagi ini.

“Sama-samalah kita maafkan segala salah dan silap arwah, menghalalkan makan minumnya dan mengenangkan serta menghargai yang terbaik yang pernah diberikannya kepada kita dan negara selama ini.

“Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang disayangi-Nya,” kata Noorul.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here